Jabatan Peguam Negara (AGC).
Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi jaminan sebarang tindakan pendakwaan susulan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji akan diputuskan sepenuhnya berasaskan undang-undang dan bukti, tanpa dipengaruhi tekanan politik, pihak luar atau sentimen masyarakat.
Jaminan itu diberikan ketika laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 mula diteliti oleh agensi penguat kuasa selepas kerajaan menyahklasifikasikan dokumen berkenaan.
Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan pihaknya memandang serius setiap penemuan yang terkandung dalam laporan tersebut, termasuk berkaitan urusan pengurusan, pelaburan dan dakwaan salah laku.
Menurut AGC, penelitian akan dibuat dengan segera bagi memastikan semua aspek siasatan oleh badan penguat kuasa dijalankan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada terdapat pelanggaran undang-undang yang memerlukan pendakwaan.
“AGC memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan, sekiranya perlu, akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menyambut baik keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju menyahklasifikasikan laporan RCI Tabung Haji dan mendedahkannya kepada umum.
Katanya, tindakan itu selaras dengan tanggungjawab perlembagaan jabatan berkenaan untuk memastikan setiap siasatan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan berasaskan fakta serta bukti.
Pada masa sama, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung.
“Orang awam disaran agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta menghakis keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan Lembaga Tabung Haji dalam melaksanakan peranannya mengikut Akta Tabung Haji 1995,” katanya.
Laporan RCI yang didedahkan minggu ini menggariskan pelbagai kelemahan tadbir urus, pengurusan kewangan dan pelaburan Tabung Haji sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Susulan itu, kerajaan mengarahkan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan AGC meneliti setiap syor serta penemuan yang dikemukakan sebelum tindakan lanjut diambil.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menegaskan bahawa siasatan susulan mesti dilaksanakan secara telus, profesional dan tanpa memilih bulu bagi memastikan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dibawa ke muka pengadilan.
Prestasi ekonomi bukti PH wajar terus pimpin Negeri Sembilan
859,750 pengundi Negeri Sembilan tentukan nasib 36 kerusi DUN esok
Bersatu dakwa PAS guna logo PN sekadar ‘topeng’ untuk tarik undi bukan Melayu
Azeez Rahim sedia disiasat semula, susulan pendedahan laporan RCI Tabung Haji
RCI Tabung Haji: Pengkhianatan terbesar datang dari tangan sendiri
[VIDEO] Jangan guna laporan RCI untuk bersihkan pemimpin salah tadbir TH walaupun tiada ‘sakau’
[VIDEO] Altimet gesa tumpuan diberi kepada nasib pendeposit Tabung Haji