Fahmi semasa program pelepasan Konvoi Jelajah Anak Muda di Kuala Pilah pada Jumaat.
“Mengundi ini membuat pilihan tentang masa depan kita.”
Pesanan itu menjadi peringatan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil kepada rakyat Negeri Sembilan supaya menggunakan hak mereka dengan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok kerana setiap undi akan menentukan siapa yang diberi mandat mentadbir negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurut beliau, memilih pemimpin yang amanah bukan sekadar menentukan siapa memegang kuasa, malah memastikan wang rakyat diurus dengan baik serta pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Mengundi meletakkan nasib negeri di tangan pemimpin. Sekiranya kita pilih pemimpin yang betul maka baiklah pengakhirannya.
“Kalau kita pilih pemimpin yang tidak betul, tidak baik, tidak amanah maka akan berlaku macam-macam masalah di kemudian hari. Kita nak duit rakyat dijaga dengan baik. Kita nak pembangunan dilakukan dengan baik,” katanya selepas program pelepasan Konvoi Jelajah Anak Muda di Kuala Pilah pada Jumaat.
Beliau turut menyeru anak muda dan anak Negeri Sembilan yang berada di perantauan supaya pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya harap anak-anak muda dan juga mereka yang berada di perantauan baliklah laksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai warga negara, sebagai anak Negeri Sembilan untuk membuat pilihan yang terbaik demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati menerima maklumat yang tersebar di media sosial, terutama menerusi aplikasi WhatsApp, kerana kebanjiran maklumat separa benar dan palsu boleh mengelirukan pengundi pada saat akhir kempen.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau urusan pilihan raya perlu disemak menerusi laman web rasmi bagi memastikan kesahihannya.
“Kepada semua, hati-hati dengan sebarang maklumat yang kita terima dalam media sosial, terutama dalam WhatsApp. Kita lihat kebanjiran maklumat separa benar ataupun palsu agak tinggi. Jika ada maklumat mengenai SPR atau urusan pilihan raya, rujuklah laman web rasmi SPR,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada satu laporan sebuah portal berita berbahasa Cina yang tersilap melaporkan kononnya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengulas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Bagaimanapun, katanya, semakan terhadap rakaman audio mendapati Loke tidak pernah menyentuh isu itu sebelum portal berkenaan mengemas kini laporannya dan memohon maaf atas kesilapan tersebut.
“Sebab itu saya minta semua sentiasa semak dan dapatkan maklumat terkini daripada sumber yang sahih sebelum mempercayai atau menyebarkannya,” katanya.
PRN Negeri Sembilan melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan seramai 859,750 pengundi berdaftar layak mengundi.
Hari pengundian berlangsung pada Sabtu selepas tempoh kempen selama 14 hari yang menyaksikan media sosial menjadi antara platform utama penyebaran maklumat dan kempen politik.
Zahid sambut seruan Anwar berdamai lepas PRN
Mahfuz persoal Hadi arah pengundi PAS undi BN
PH nafi beri wang kepada pengundi di PRN Negeri Sembilan
AMK: Jika bermain dua kolam bersama PN, keluar sahaja kerajaan Selangor
PRN NS: PH sasar menang minimum 19 kerusi
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan
[VIDEO] NGO Melayu N9 seru rakyat pertahan kestabilan dan agenda pembangunan, tolak fitnah dan sentimen kaum