Mahfuz Omar.
Tindakan Ahli Parlimen PAS dan Wawasan meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi penerangan mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai tidak matang serta tidak mencerminkan kesungguhan membela kepentingan pendeposit.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata tindakan itu bercanggah dengan pendirian pembangkang yang sebelum ini lantang membangkitkan isu aset dan pengurusan TH.
Menurutnya, ketika fakta dan penemuan RCI dibentangkan di Dewan, wakil rakyat sepatutnya berada di dalam dewan untuk mendengar penjelasan, mengemukakan soalan dan mencabar fakta jika tidak bersetuju.
“Di luar dewan mereka menjerit bising kononnya aset TH dijual dan dilelong tetapi apabila fakta, penemuan dan penjelasan RCI dibentangkan di dalam dewan, mereka pula yang bangun meninggalkan tempat.
“Kalau benar mahu membela pendeposit, duduk, dengar dan bahas. Kalau tidak setuju, berhujahlah dengan waras. Kalau ada fakta yang mahu dicabar, kemukakan bukti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz turut mempersoalkan alasan pembangkang meninggalkan Dewan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani rawatan.
“PM sedang menjalani rawatan. Saya cadangkan Ahli Parlimen PAS dan Wawasan perlu menjalani rawatan mental politik sebab bila fakta pahit dibentangkan, terus keluar Dewan.
“Perdana Menteri tidak hadir kerana doktor memintanya berehat. Pembangkang lari keluar Dewan atas nasihat doktor mana pula? Tidak hadir kerana apa? Sakit apa atau takut fakta?” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak membaca laporan RCI TH secara menyeluruh dan tidak memilih fakta yang hanya menyokong naratif politik masing-masing.
Katanya, sebarang kelemahan atau kegagalan yang didedahkan dalam laporan itu perlu diterima sebagai asas untuk melakukan penambahbaikan, termasuk memahami rasional langkah pemulihan dan penstrukturan TH.
“Jangan pilih fakta daripada RCI seperti memilih lauk di pasar malam – ambil yang sedap kepada selera politik, tinggalkan yang pahit kepada naratif sendiri.
“Baca keseluruhan laporan, bukan pilih muka surat yang boleh dijadikan bahan ceramah,” katanya.
Sidang khas Dewan Rakyat hari ini membincangkan laporan RCI berkaitan TH, termasuk isu pengurusan, tadbir urus serta langkah pemulihan institusi itu selepas berdepan pelbagai persoalan mengenai kedudukan aset dan kewangannya.
Mahfuz berkata isu TH tidak sepatutnya dijadikan pentas untuk mana-mana pihak mencari keuntungan politik, sebaliknya memerlukan wakil rakyat yang sanggup mendengar, bertanya dan mempertahankan kepentingan pendeposit berdasarkan fakta.
CEO TH dalam lembaga 1MDB ketika beli tanah TRX, Parlimen diberitahu kerugian RM145.3 juta
Keluar Dewan: Pembangkang PN tak peduli amanah pendeposit Tabung Haji?
Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung kenyataan fitnah
Bendera tanpa bulan bintang, Akmal mahu penjelasan MBKT
Bersatu kena cari jalan kuasai semula PN: Puad
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan