RCI TH: Keluar Dewan Rakyat, pembangkang dikecam bersuara di TikTok makan gaji buta

20 jam lalu · Politik

Tindakan beberapa wakil rakyat PAS meninggalkan Dewan Rakyat ketika isu Lembaga Tabung Haji (TH) dibahaskan menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar mahu memperjuangkan kepentingan pendeposit atau sekadar mahu membina naratif politik di luar Parlimen.

Jika benar isu Tabung Haji mahu dipertahankan, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi gelanggang utama untuk wakil rakyat PAS menyuarakan bantahan, mencabar fakta dan menuntut penjelasan kerajaan.

Bukannya meninggalkan dewan sebelum membuat bising di luar atau membawa hujah ke platform media sosial seperti TikTok.

Dewan Rakyat menyediakan ruang rasmi untuk Ahli Parlimen berbahas, mengemukakan soalan dan merekodkan pendirian mereka dalam Hansard. Sebaliknya, apabila perbahasan ditinggalkan, ruang itu sendiri dilepaskan oleh wakil rakyat yang dipilih untuk membawa suara rakyat.

Lebih ironik, PAS sendiri pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan ketika keputusan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji dibuat pada 2021.

Ketika itu, menteri daripada PAS, Idris Ahmad, menjelaskan di Dewan Rakyat Kabinet bersetuju dengan penubuhan RCI dan berharap proses berkenaan dapat diselesaikan sebelum pelan pemulihan dilaksanakan.

Kini, apabila laporan RCI itu didedahkan dan isu berkaitan dibawa ke Parlimen, peluang untuk PAS meneliti serta mencabar kandungannya secara terbuka sebenarnya terbentang luas.

Kerajaan sebelum ini menjelaskan laporan RCI meliputi tempoh 2014 hingga 2020 dan keputusan dibuat untuk mendedahkannya kepada umum, selain meneruskan siasatan terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang.

Ini bukan isu politik biasa. Ia membabitkan institusi yang mengurus wang umat Islam, termasuk simpanan orang kampung, pesara, petani, nelayan dan penjawat awam yang menyimpan sedikit demi sedikit dengan harapan dapat menunaikan ibadah haji.

Sebab itu tindakan keluar Dewan sukar untuk tidak dikritik.

Kalau tidak setuju, duduk dan lawan. Kalau laporan itu dikatakan salah, patahkan dengan fakta. Jika ada dakwaan kerajaan mengelirukan rakyat, desak jawapan di dalam Dewan.

Itulah fungsi pembangkang.

“TikTok bukan Parlimen. Di media sosial seseorang boleh bercakap tanpa dicelah, tetapi di Dewan Rakyat hujah boleh dicabar, soalan boleh dituntut jawapannya dan semuanya direkodkan,” kata pemerhati politik.

Penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi politik tidak salah. Namun, ia tidak seharusnya menggantikan tanggungjawab wakil rakyat menggunakan institusi Parlimen, terutama apabila isu yang dibangkitkan menyentuh amanah dan wang rakyat dalam jumlah besar.

Akhirnya, rakyat berhak menilai sendiri tindakan berkenaan.

Jika isu melibatkan amanah berbilion ringgit umat Islam pun wakil rakyat memilih meninggalkan Dewan, rakyat wajar bertanya: isu sebesar mana lagi yang diperlukan untuk membuatkan mereka kekal duduk, mendengar dan berhujah sehingga selesai?

Berita berkaitan
RCI Tabung Haji: Tujuh ditahan, 115 saksi dipanggil dalam siasatan SPRM
18 jam lalu· Isu semasa
RCI Tabung Haji: Radzi jelaskan kenapa MP Bersatu kekal dalam Dewan
20 jam lalu· Politik
RCI TH: BN gesa elak tuduhan melulu, jangan dijadikan modal politik
20 jam lalu· Politik
Lesen judi Kedah: Kalah di mahkamah, kenapa Putrajaya pula dipersalahkan PAS?
20 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
AMK tegur politik ‘berselingkuh’ dalam Kerajaan Perpaduan
7 jam lalu · Politik
PH yakin DAP utamakan kestabilan politik: Saifuddin Nasution
17 jam lalu · Politik
Loke enggan layan spekulasi, tunggu Ahad selepas persidangan DAP
21 jam lalu · Politik
Pembangkang PAS, Wawasan gagal guna ruang Parlimen bela kepentingan pendeposit TH
21 jam lalu · Politik
Kes saman: Najib bantah 80 peratus keterangan bekas CEO 1MDB
August 12, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan
July 31, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok