Zambry Abd Kadir.
Barisan Nasional (BN) mahu kajian menyeluruh terhadap tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) dibuat, termasuk perkembangan selepas 2020 khususnya membabitkan peranan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).
Setiausaha Agungnya, Zambry Abd Kadir berkata BN menyambut baik dapatan dan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurutnya, perbahasan di Parlimen turut mengesahkan RCI berkenaan memberi tumpuan kepada tempoh antara 2014 hingga 2020.
“Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus TH dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh UJSB hingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, dapatan RCI berkaitan tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi serta mekanisme semak dan imbang TH perlu dijadikan asas untuk memperkukuh institusi itu, bukannya dijadikan modal politik jangka pendek.
“BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten,” katanya.
Pada 11 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, membentangkan laporan RCI berkaitan TH dalam sidang khas Dewan Rakyat.
Sidang khas itu bagaimanapun menjadi perhatian selepas beberapa Ahli Parlimen PAS dan Wawasan memilih keluar Dewan sebagai tanda bantahan susulan permintaan supaya persidangan ditangguhkan tidak diluluskan.
Mereka sebelum itu mahu sidang berkenaan ditangguhkan atas alasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tidak dapat hadir ketika sedang menjalani rawatan di hospital selepas pembedahan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, memutuskan persidangan diteruskan kerana urusan kerajaan masih boleh dijalankan dengan kehadiran timbalan perdana menteri dan menteri berkaitan.
Zambry berkata Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, sejak awal menyokong laporan RCI didedahkan kepada Parlimen untuk dibahaskan secara terbuka.
“Malah beliau turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh.
“Ini menunjukkan BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu TH,” katanya.
Sehubungan itu, Zambry mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat tuduhan tanpa asas atau menjatuhkan hukuman politik sebelum proses berkaitan selesai.
“Semua pihak perlu mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai dan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab,” katanya.
RCI TH sebelum ini ditubuhkan bagi meneliti isu pengurusan dan tadbir urus institusi itu, khususnya dalam tempoh 2014 hingga 2020. Laporan berkenaan kini menjadi asas kepada usaha memperkemas pengurusan dan struktur TH.
PH yakin DAP utamakan kestabilan politik: Saifuddin Nasution
Lesen judi Kedah: Kalah di mahkamah, kenapa Putrajaya pula dipersalahkan PAS?
Loke enggan layan spekulasi, tunggu Ahad selepas persidangan DAP
Pembangkang PAS, Wawasan gagal guna ruang Parlimen bela kepentingan pendeposit TH
Kes saman: Najib bantah 80 peratus keterangan bekas CEO 1MDB
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan