Aziz Bari.
UMNO dan PAS perlu menghentikan polemik berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji serta memberi laluan kepada pihak berkuasa mengambil tindakan susulan terhadap dapatan laporan itu.
Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari, berkata tindakan kedua-dua parti berkenaan selepas laporan RCI didedahkan dilihat ganjil, termasuk tindakan PAS memboikot persidangan Parlimen dan penganjuran seminar yang mempertikaikan dapatan suruhanjaya berkenaan.
“Tidak pernah berlaku sebelum ini kita saksikan tindakan boikot yang dilakukan PAS di Parlimen serta seminar mempertikai dapatan sebuah Suruhanjaya Diraja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, UMNO dan PAS perlu menerima hakikat RCI Tabung Haji ditubuhkan dan menyiapkan laporannya ketika kedua-dua parti itu masih berada dalam kerajaan.
Aziz berkata suruhanjaya itu turut menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, justeru dapatan yang dikemukakan perlu dihormati.
Beliau turut mengingatkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya tindakan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam isu berkenaan dan mereka yang bertanggungjawab dicari hingga “ke lubang cacing”.
“Masa untuk siasatan sudah berlalu dan sekarang adalah masa untuk bertindak,” katanya.
Aziz mendakwa PAS khususnya enggan menggunakan ruang yang tersedia untuk membahaskan isu itu sebelum bersama UMNO mengalihkan perhatian kepada perkara lain.
“UMNO dan PAS seakan-akan takut dengan bayang-bayang sendiri,” katanya.
Beliau berkata isu Tabung Haji bukan sekadar membabitkan kepentingan umat Islam, sebaliknya turut memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan apabila langkah menyelamatkan institusi itu turut melibatkan wang pembayar cukai.
“Skandal Tabung Haji ini adalah isu yang menyentuh kepentingan semua kaum di Malaysia kerana langkah menyelamatkan Tabung Haji telah melibatkan semua rakyat, khususnya pembayar cukai,” katanya.
Sehubungan itu, Aziz menggesa desakan UMNO dan PAS berhubung RCI baharu tidak dilayan, sebaliknya agensi penguat kuasa perlu segera mengambil tindakan berdasarkan dapatan laporan yang telah didedahkan.
Laporan RCI Tabung Haji menjadi perhatian selepas kerajaan mendedahkan hasil siasatan berhubung pengurusan dan kedudukan kewangan institusi itu kepada umum, susulan desakan pelbagai pihak.
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
Peja: Bersatu tak mampu bergerak solo di Melaka
Dua ADUN Bersatu sokong Wan Rosdy hingga PRN-16, parti beri restu
RCI Tabung Haji ditubuh ketika UMNO berkuasa, kenapa dipersoal sekarang? – Mahfuz
Bersatu Melaka terbuka kerjasama dengan PH hadapi PRN
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri