Tiada lesen judi baharu bawah Kerajaan MADANI, Sanusi jangan auta: MOF

August 27, 2026 · Politik

Pentadbiran Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan lesen atau permit perjudian baharu, selain tidak menambah bilangan premis perjudian sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini menjelaskan lesen dan permit perjudian yang masih berkuat kuasa ketika ini adalah berdasarkan kelulusan sedia ada sejak 1990-an.

Penjelasan itu susulan kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung aktiviti perjudian di negeri itu yang disifatkan MOF sebagai mengelirukan.

Menurut kementerian itu, kenyataan berkenaan memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Madani tidak mengawal aktiviti perjudian atau membenarkan pengeluaran lesen baharu bagi menambah premis perjudian.

“Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu serta tidak menambah bilangan premis perjudian sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022,” menurut MOF.

MOF berkata kerajaan turut mengenakan syarat ketat kepada pemegang lesen sebagai sebahagian daripada langkah mengawal aktiviti perjudian berlesen.

Kementerian itu turut menjelaskan sepanjang pentadbiran Persekutuan antara 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi PAS, tiada usul atau keputusan untuk mengharamkan perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.

Dari segi kekerapan cabutan khas, pentadbiran Pakatan Harapan pada 2020 memutuskan jumlah cabutan dikurangkan daripada 22 kepada lapan kali setahun.

Bagaimanapun, pentadbiran selepas itu meningkatkan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.

“Selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023,” menurut MOF.

MOF berkata kerajaan terus mengambil pendekatan tegas dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memperketat kawal selia serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.

Isu itu turut mendapat perhatian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu yang menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Rhodzariah Bujang bersama Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.

Dalam keputusan sebulat suara, Rhodzariah berkata kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Berita berkaitan
PKR Kedah: Sanusi jangan alih tiang gol, jawab isu lesen judi
6 jam lalu· Politik
Bersatu Melaka terbuka kerjasama dengan PH hadapi PRN
August 25, 2026· Politik
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
August 24, 2026· Politik
Mekanisme subsidi diesel bakal ditambah baik: Armizan
August 22, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Ismail Sabri bebas dengan jaminan RM300,000 dibayar anak
6 jam lalu · Politik
RM14.7 juta, mata wang asing dan emas: Ismail Sabri didakwa
10 jam lalu · Politik
Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya
22 jam lalu · Politik
Kes pengisytiharan harta: Ismail Sabri akan didakwa esok
August 26, 2026 · Politik
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
August 26, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok