Suami isteri antara tujuh ditahan, dadah RM3.2 juta dirampas di P. Pinang

August 28, 2026 · Isu semasa

Polis Pulau Pinang menahan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dalam operasi membanteras tiga sindiket pengedaran dadah di negeri itu antara 15 hingga 22 Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Dennis Lim berkata, operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kontinjen bersama bahagian narkotik daerah dijalankan hasil risikan dan intipan selama beberapa bulan.

Menurutnya, empat individu berusia 25 hingga 35 tahun ditahan dalam dua serbuan di daerah Timur Laut pada 15 dan 16 Ogos.

Polis merampas 38.3 kilogram (kg) serbuk ganja, 11.5kg bunga ganja, 14kg syabu, 5kg ketamin, 16kg pil ekstasi serta 4,000 biji pil Erimin 5.

“Siasatan mendapati sindiket itu didalangi pasangan suami isteri berusia 26 dan 25 tahun. Mereka dipercayai memperoleh bekalan ganja dan bunga ganja dari negara jiran sebelum mengedarkannya untuk pasaran di Pulau Pinang.

“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak Mei lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam operasi berasingan di Seberang Perai Utara (SPU), polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 46 tahun menerusi dua serbuan di Butterworth pada 15 dan 19 Ogos.

Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam pengedaran serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), dengan polis merampas masing-masing 3.25kg dan 1.3kg bahan berkenaan.

Siasatan mendapati bekalan MDMA disimpan dalam bungkusan pelbagai jenis minuman segera sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar Pulau Pinang, terutama di pusat hiburan.

Kegiatan itu dipercayai sudah dijalankan selama kira-kira tiga bulan, dengan serbuk MDMA dijual pada harga bermula RM100.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan di sebuah apartmen di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah (SPT), pada 22 Ogos.

Polis merampas 8.5kg serbuk MDMA, 1,755 biji pil ekstasi, 100 biji pil Erimin 5, 0.63kg ketamin dan sembilan katrij cecair syabu.

Suspek yang tidak bekerja itu masih direman sehingga 29 Ogos dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dennis berkata, ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif morfin, amphetamine dan methamphetamine, manakala lima lagi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

Polis turut menyita sebuah kereta dan motosikal bernilai keseluruhan RM89,000.

Beliau menegaskan tiga kumpulan berkenaan merupakan sindiket berbeza dan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Operasi itu sekali lagi menunjukkan kegiatan pengedaran dadah di Pulau Pinang terus menjadi sasaran utama polis, khususnya membabitkan bekalan dari luar negara serta pengedaran di kawasan hiburan.

Berita berkaitan
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
October 25, 2026· Isu semasa
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
October 24, 2026· Isu semasa
72 rakyat Malaysia ditahan dalam kes dadah di luar negara: Polis
October 22, 2026· Isu semasa
Polis: Dakwaan edar dadah dekat IPD Sentul kes lama pada 2016
October 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
12 jam lalu · Isu semasa
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
18 jam lalu · Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
21 jam lalu · Isu semasa
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
October 26, 2026 · Isu semasa
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
October 26, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok