Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan polis menahan dan mereman dua individu dalam kes kesilapan pemasangan Jalur Gemilang di Kulai, Johor, sedangkan kes membabitkan pihak lain hanya diselesaikan dengan rakaman percakapan.
Beliau berkata, sekiranya kesilapan memasang Jalur Gemilang berlaku secara tidak sengaja, segera diperbetulkan dan disusuli permohonan maaf, tindakan tangkapan tidak sepatutnya dikenakan.
Namun, katanya, dua rakyat biasa dalam kes di Kulai ditahan dan direman selama empat hari, selain menjalani ujian air kencing.
“Dalam kes MCA Perak, pihak terlibat sekadar dirakam percakapan tanpa ditahan. Apabila Majlis Bandaraya Kuala Terengganu mengibarkan Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang, alasan ‘kesilapan teknikal’ diterima dan tiada tangkapan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata, perbezaan tindakan dalam beberapa kes berkenaan menimbulkan persoalan sama ada pendekatan polis bergantung kepada pihak yang terlibat.
“Kesilapan hampir sama, tetapi layanan polis jauh berbeza. Adakah tindakan polis bergantung pada siapa yang terlibat?” soalnya.
Menurutnya, Ketua Polis Negara perlu segera memberikan penjelasan berhubung dakwaan wujud layanan berbeza antara rakyat biasa, individu berprofil tinggi dan agensi kerajaan.
“Polis tidak boleh bertindak keras terhadap rakyat biasa tetapi berlembut apabila melibatkan ‘VIP’ dan agensi kerajaan. Itu bukan keadilan. Itu pilih kasih,” katanya.
Beliau turut menggesa Ketua Polis Negara mengambil tanggungjawab sekiranya gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai perbezaan tindakan dalam kes terbabit.
“Jika beliau gagal memberikan jawapan yang munasabah atau terus membisu seperti dalam kes Kulai, beliau mesti meletakkan jawatan atau dipecat serta-merta,” katanya.
Isu pemasangan Jalur Gemilang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini susulan beberapa kes kesilapan mempamerkan bendera Malaysia, termasuk susunan atau reka bentuk yang tidak tepat.
Kes-kes terbabit mencetuskan perdebatan mengenai tindakan penguatkuasaan serta sama ada hukuman dikenakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang pihak terlibat.
PH tunggu keputusan UMNO-BN, Amiruddin sudah hubungi Rauf bincang kerjasama
Siasatan Tabung Haji diteruskan, PMX mahu elak kerugian berulang
Ketirisan disekat, wang rakyat akan dipulangkan: Anwar
UMNO negeri dibenarkan teroka kerjasama dengan parti lain, tapi bersyarat: Asyraf
‘Maki saya pasal apa?’ Anwar nafi sokong judi, malah sudah dikurangkan
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri