Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan menyokong kegiatan perjudian, sambil menegaskan kerajaan pimpinannya sudah mengurangkan jumlah cabutan nombor ramalan daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Menurut Anwar, pengurangan itu dibuat secara berperingkat selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, justeru beliau meminta pihak yang mengkritiknya supaya melihat rekod kerajaan terdahulu.
“Orang kata, ‘Oh, Anwar ini tauke judi.’ Saya tak judi. Saya tak sokong orang judi.
“Dulu judi, sebelum saya jadi Perdana Menteri, masa kerajaan dulu, semua parti dululah. Berapa cabutan setahun? 22 kali,” katanya ketika merasmikan Program Skim Usahawan Bangkit Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman Penanti, Kubang Semang, di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, kerajaan ketika ini memilih pendekatan berperingkat dalam mengurangkan jumlah cabutan nombor ramalan berbanding mengambil tindakan secara mendadak.
“Ketika zaman saya, batal semua. Saya buat peringkat. Saya turun daripada 22, jadi lapan kali.
“Kamu nak maki saya pasal apa? Masa kamu perintah dulu 22 kali. Masa saya perintah, saya turunkan lapan kali,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah itu masih belum memadai bagi pihak yang mahu kegiatan perjudian dikurangkan sepenuhnya.
“Cukup? Belum cukup. Baik? Belum baik. Tapi untuk kamu serang saya, kamu cermin dulu. Kamu buat dulu 22 kali. Saya turunkan,” katanya.
Jumlah cabutan khas nombor ramalan ditetapkan kepada lapan kali setahun di bawah pentadbiran Kerajaan Madani bermula 1 Januari 2023, berbanding 22 kali sebelum itu.
Isu berkenaan turut menjadi perhatian selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor didakwa mendoakan perkara buruk terhadap Anwar ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Halangan Pengharaman Judi di Kedah’ di Dewan Seri Mentaloon, Selasa lalu.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata masyarakat perlu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan rekod, bukan semata-mata persepsi atau tuduhan politik.
Beliau turut menyentuh kepentingan menjaga hubungan Malaysia dengan negara luar, termasuk ketika berdepan cabaran di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, hubungan baik dengan pemimpin dan tokoh dunia memperlihatkan tahap kepercayaan terhadap Malaysia.
“Saya baru-baru ini ada jadi sikitlah (masalah kesihatan), tetapi baru-baru ini mereka (doa) suruh bagi pecah perut itu. Ya ALLAH.
“Tapi tengok kawan-kawan luar, Perdana Menteri Pakistan telefon saya tanya, ‘Anwar ok?’ Saya jawab, ok. Sheikhul Azhar, ulama besar dunia telefon saya, dia kata, ‘Anwar, saya nak doa sikit untuk kesihatan kamu’,” katanya.
Anwar kemudian menyeru rakyat supaya memberi perhatian kepada keluarga, pendidikan anak-anak dan tanggungjawab masing-masing.
“Saya hargai sangat-sangat dan tekunlah. Jaga anak-pinak kita, keluarga kita dan kerja dengan baik.
“Ada wang lebih, tengok pendidikan anak-anak. Kalau kita saja berjaya, anak-anak tak baca buku, tak jalan juga,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya terus berusaha sebelum menyerahkan hasilnya kepada ALLAH SWT dengan penuh tawakal.
“Jadi jayakanlah masyarakat kita ini dengan ikhtiar kita dan doa kepada ALLAH SWT dan tawakal kepada-Nya,” katanya.
PH tunggu keputusan UMNO-BN, Amiruddin sudah hubungi Rauf bincang kerjasama
UMNO negeri dibenarkan teroka kerjasama dengan parti lain, tapi bersyarat: Asyraf
Kes bendera terbalik: Mengapa MCA Perak diberi layanan berbeza dengan rakyat lain?
Pintu damai PAS-Bersatu sudah tertutup: Hadi
Jalur Gemilang terbalik, MCA Perak tampil mohon maaf
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri