Isu kontroversi RCI Tabung Haji.
Siasatan berhubung isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) seperti dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan diteruskan bagi memastikan negara tidak terus menanggung kerugian.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tindakan perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku kesalahan, namun ia mesti berdasarkan bukti dan mengikut proses undang-undang.
“Macam siasatan RCI Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi, tetapi apabila ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham.
“Saya kata duit hilang RM12 bilion, macam mana hilang? Bila hilang? Siapa yang hilangkan, hal itu pihak berkuasa siasat. Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim. Itu cara kita perintah dan tadbir,” katanya semasa Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti hari ini.
Anwar menegaskan kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh mengenai salah laku.
Pada 29 Julai lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman berkaitan siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu mendedahkan beberapa kelemahan pengurusan institusi berkenaan serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan. Setakat 30 Julai lalu, sebanyak 75 peratus syor berkenaan dilaporkan sudah dilaksanakan TH.
Menurut Anwar, tindakan membanteras ketirisan perlu diteruskan kerana Malaysia mempunyai sumber kewangan yang besar, namun sebahagian manfaatnya tidak sampai kepada rakyat akibat kebocoran dalam pengurusan dana dan peruntukan.
“Apa tujuan ambil tindakan? Supaya dapat halang ketirisan. Siapa kata Malaysia ini miskin? Bukan, cuma bantuan tidak sampai ke bawah sebab banyak bocor di tengah jalan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan terus membantu rakyat melalui pelbagai program, termasuk menyediakan peluang menjana pendapatan, pendidikan, kemahiran serta akses kepada teknologi.
Antara inisiatif disediakan termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan mahu memperkukuh peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), terutama dalam menyediakan akses teknologi dan kecerdasan buatan (AI) kepada masyarakat luar bandar.
Beliau berkata setiap kawasan Dewan Undangan Negeri mempunyai sebuah NADI bagi memastikan kemudahan digital dapat dimanfaatkan lebih ramai rakyat.
“Kita menang pada peringkat dunia sebab kita buat NADI sampai ke Pulau Banggi, di hujung Sabah, namun kejayaan itu belum cukup kerana ramai yang tidak tahu apa itu NADI. Ramai yang tidak memanfaatkannya,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyerahkan sijil kepada enam pemohon yang berjaya menyertai Skim Usahawan Bangkit di Permatang Pauh.
PH tunggu keputusan UMNO-BN, Amiruddin sudah hubungi Rauf bincang kerjasama
UMNO negeri dibenarkan teroka kerjasama dengan parti lain, tapi bersyarat: Asyraf
Kes bendera terbalik: Mengapa MCA Perak diberi layanan berbeza dengan rakyat lain?
Mahfuz gesa Mufti Kedah beri panduan isu ‘doa pecah perut’ dibuat Sanusi
Pintu damai PAS-Bersatu sudah tertutup: Hadi
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri