Jalur Gemilang terbalik, MCA Perak tampil mohon maaf

August 28, 2026 · Politik

MCA Perak memohon maaf selepas pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Perak secara terbalik di bangunan ibu pejabatnya di Ipoh, pagi tadi.

Pengerusinya, Mah Hang Soon, berkata kejadian itu berpunca daripada kesilapan seorang kakitangan yang ditugaskan memasang kedua-dua bendera sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

“MCA Perak menegaskan ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan tiada niat sedikit pun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera Negeri Perak.

“Sebaik sahaja kesilapan itu disedari, kedua-dua bendera berkenaan diturunkan serta-merta dan dikibarkan semula dengan betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hang Soon, kakitangan berkenaan sudah berusia dan ditugaskan memasang serta memacakkan Jalur Gemilang dan bendera Perak di premis berkenaan.

Beliau berkata, polis dari Balai Polis Ipoh turut hadir kira-kira jam 1 tengah hari bagi menjalankan siasatan serta merakam percakapan kakitangan terbabit dan pegawai pentadbiran ibu pejabat MCA Perak.

“MCA Perak telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.

Hang Soon berkata, kakitangan terbabit turut menyatakan kekesalan atas kejadian itu dan secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Katanya, ibu pejabat MCA Perak menerima peletakan jawatan itu atas dasar menghormati keputusan peribadi kakitangan berkenaan yang sudah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun.

Kes berkenaan turut mengheret Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pakatan Harapan (PH), Woo Kah Leong, mempersoalkan pendekatannya dalam isu bendera.

Kah Leong mendakwa Akmal mengamalkan sikap pilih kasih kerana sebelum ini lantang mengkritik kesalahan berkaitan Jalur Gemilang, namun tidak menunjukkan sikap sama apabila melibatkan kerajaan negeri atau rakan komponen politik.

“Apabila melibatkan peniaga kecil Pulau Pinang, satu himpunan digerakkan untuk menakutkan peniaga tersebut sehingga menatijahkan kedai terpaksa ditutup.

“Namun tidak ditunjukkan sikap garangnya apabila melibatkan kerajaan negeri Terengganu, Negeri Sembilan dan MCA,” katanya.

Kah Leong turut meminta tindakan tegas dikenakan secara adil tanpa mengira latar belakang politik pihak terbabit.

“Jangan sibuk membuli rakyat biasa dan bagi laluan VIP kepada rakan-rakan sendiri. Rakyat pandai menilai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Akmal turut mengkritik kejadian itu menerusi media sosial.

“Buat dulu lepas tu minta maaf. Bosan dah,” katanya.

Beliau turut menggesa undang-undang diperketatkan dengan hukuman lebih berat terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkaitan bendera.

“Alasan tidak perasan ini dah tidak lojik. Orang kurang waras pun tahu cara pemasangan bendera dengan betul!” katanya.

Isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik sebelum ini beberapa kali mencetuskan perhatian dan kecaman awam, terutama menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan.

Berita berkaitan
PH tunggu keputusan UMNO-BN, Amiruddin sudah hubungi Rauf bincang kerjasama
August 29, 2026· Politik
UMNO negeri dibenarkan teroka kerjasama dengan parti lain, tapi bersyarat: Asyraf
5 jam lalu· Politik
Kes bendera terbalik: Mengapa MCA Perak diberi layanan berbeza dengan rakyat lain?
6 jam lalu· Politik
Pintu damai PAS-Bersatu sudah tertutup: Hadi
August 28, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Siasatan Tabung Haji diteruskan, PMX mahu elak kerugian berulang
August 29, 2026 · Politik
Ketirisan disekat, wang rakyat akan dipulangkan: Anwar
5 jam lalu · Politik
‘Maki saya pasal apa?’ Anwar nafi sokong judi, malah sudah dikurangkan
6 jam lalu · Politik
Mahfuz gesa Mufti Kedah beri panduan isu ‘doa pecah perut’ dibuat Sanusi
20 jam lalu · Politik
Kes Saravanan: Anwar serah kepada SPRM, pihak berkuasa untuk teliti
August 28, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok