Pasangan suami isteri Muhammad Nazatul Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan serta anak lelaki mereka berusia empat terlibat dalam kemalangan maut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berwajib menjalankan siasatan dengan teliti bagi mengenal pasti punca kemalangan maut di Temerloh, yang turut meragut nyawa sebuah keluarga selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan.
Anwar turut menzahirkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa, dan mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan serta ketabahan.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiāun. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga setiap kali berada di jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam semalam, empat termasuk tiga sekeluarga terbunuh serta tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 (arah Timur) di Lanchang, Temerloh, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh.
Mereka yang terkorban terdiri daripada pasangan suami isteri Muhammad Nazatul Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan masing-masing berusia 32 tahun serta anak lelaki mereka berusia empat tahun yang menaiki kereta Proton S70.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang Honda CRV Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.
Kemalangan itu membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), satu masing-masing kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pikap, sebuah lori tangki dan bas.
Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berpunca daripada lori tangki membawa simen yang hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan lain, yang sedang bergerak perlahan. – Bernama
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum