Kes scam..
Seorang pesara swasta berusia 66 tahun kerugian RM1.4 juta selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata mangsa menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada 19 Mei lalu.
Menurutnya, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum mengarahkannya membuka satu akaun bank baharu.
Mangsa kemudian diminta memindahkan semua wang simpanannya ke akaun itu kononnya bagi tujuan semakan pihak berkuasa.
“Selepas membuka akaun itu, seorang lelaki bertemu dengan mangsa di kawasan perumahan sebelum mangsa menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta nombor PIN kepada lelaki terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azry berkata, wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji, selain hasil gadaian emas, berjumlah RM1,417,210 dimasukkan ke akaun berkenaan secara berperingkat sehingga 1 September lalu.
Bagaimanapun, mangsa kemudian menyedari wang dalam akaun itu telah dipindahkan ke enam akaun berbeza dan sebahagiannya dikeluarkan melalui mesin ATM tanpa pengetahuannya.
“Menyedari dirinya sudah ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kes penipuan telefon atau *phone scam* sering menyasarkan mangsa dengan taktik menyamar sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan. Suspek biasanya mendakwa mangsa terbabit dalam kes jenayah sebelum mendesaknya memindahkan wang atau menyerahkan maklumat perbankan.
Sehubungan itu, Azry menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau mengikut arahan pemanggil tidak dikenali, sebaliknya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Orang awam juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum