Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin memberi kenyataan balas terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan hujah Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggunakan perbelanjaan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai perbandingan untuk mempertahankan isu perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata perbandingan itu tidak memadai jika Akmal hanya mengambil angka keseluruhan peruntukan dan perbelanjaan KPM tanpa melihat perbezaan kadar lebihan perbelanjaan antara kedua-dua kementerian.
Beliau berkata, KPM pada 2024 diperuntukkan RM58.726 bilion dan membelanjakan RM59.871 bilion, iaitu lebihan sekitar 1.95 peratus.
“Ya, fakta ini betul. Tetapi Akmal terlupa hendak beritahu satu perkara penting. Lebihnya cuma sekitar 1.95 peratus.
“Sekarang kita bandingkan dengan angka rasmi KKDW yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Danish berkata, KKDW pada 2024 diperuntukkan RM1.3 bilion tetapi membelanjakan RM2 bilion, melebihi peruntukan sebanyak 53.8 peratus.
Malah, katanya, keadaan itu bukan berlaku sekali kerana KKDW pada 2023 turut membelanjakan RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2025 membelanjakan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion yang diperuntukkan.
“Kalau Akmal mahu gunakan KPM sebagai perbandingan, bandingkan sampai habis.
“KPM 2024 lebih 1.95 peratus, KKDW 2024 lebih 53.8 peratus. Kadar lebihan KKDW hampir 28 kali ganda berbanding KPM,” katanya.
Danish turut mempersoalkan bagaimana perbelanjaan projek jalan luar bandar KKDW bagi 2026 boleh mencapai RM1.9 bilion daripada RM2.1 bilion yang diperuntukkan hanya sehingga Jun.
Katanya, penggunaan lebih 90 peratus peruntukan dalam tempoh separuh tahun menimbulkan persoalan mengenai perancangan dan pengurusan perbelanjaan kementerian.
“Kalau baru separuh tahun hampir seluruh peruntukan sudah digunakan, bagaimana perbelanjaan ini dirancang?” soalnya.
Danish berkata, alasan seolah-olah masalah berpunca daripada kegagalan Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan juga perlu diperbetulkan selepas MOF menjelaskan peruntukan jalan luar bandar KKDW sudah disalurkan sepenuhnya.
Malah, katanya, MOF meluluskan tambahan RM300 juta bagi 2026 bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
“Jadi jangan pusing cerita sehingga rakyat mendapat gambaran seolah-olah projek sudah diluluskan tetapi Kementerian Kewangan sengaja tidak mahu menyalurkan wang kepada KKDW,” katanya.
Menurut Danish, jika terdapat projek yang sudah diluluskan tetapi menghadapi masalah peruntukan atau pembayaran, isu itu sepatutnya dibawa ke Kabinet untuk penyelesaian.
“Presiden UMNO ialah Timbalan Perdana Menteri dan duduk dalam Jemaah Menteri. Bawa senarai projek itu ke mesyuarat Kabinet. Tunjukkan projek mana, berapa nilainya, bila diluluskan, berapa yang sudah dibelanjakan dan berapa lagi diperlukan.
“Kabinet itu tempat kerajaan mencari penyelesaian. Media bukan meja rundingan antara anggota kerajaan,” katanya.
Danish turut menyindir Akmal supaya tidak mengubah persoalan mengenai akauntabiliti menjadi pertikaian politik dan mempertikaikan isu dibangkitkan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung lebihan peruntukan digunakan KKDW sebelum ini.
“Kalau angka sejauh ini pun mahu disamakan, masalahnya mungkin bukan pada Kamil yang bertanya.
“Mungkin kalkulator Akmal yang perlukan bateri baharu,” katanya.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum