Jerebu.
ASEAN perlu meneliti semula mekanisme sedia ada bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan secara lebih berkesan, susulan kesannya terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat di rantau ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme ASEAN ketika ini masih mempunyai ruang untuk ditambah baik, terutama dari aspek tindakan bersama terhadap punca pencemaran udara.
Menurut beliau, isu jerebu tidak boleh dipandang ringan kerana keadaan itu memberi kesan besar kepada kesihatan, terutama golongan kanak-kanak dan bayi.
“(Mekanisme) itu ada ruang untuk penambahbaikan. Saya fikir menteri-menteri ASEAN mesti melihat perkara ini secara serius kerana ia menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi.
“Kita telah melihat keadaan di Serian, Sarawak dan ia amat membimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini.
Anwar berkata, negara anggota ASEAN perlu mencari pendekatan lebih berkesan supaya isu jerebu rentas sempadan dapat ditangani secara bersama dan tidak berulang sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.
Beliau turut menegaskan Malaysia tidak akan melindungi mana-mana syarikat tempatan sekiranya didapati terbabit dalam aktiviti pembakaran di Indonesia.
“Kalau ada syarikat Malaysia yang terlibat, kita beri ruang Indonesia ambil tindakan. Pejabat kita tentunya kalau berlaku di sana, tindakan di sana dan kita tidak mempertahankan,” katanya.
Menurutnya, tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab perlu dibuat berdasarkan bukti serta bidang kuasa negara terbabit bagi memastikan punca jerebu dapat ditangani secara menyeluruh.
Isu jerebu rentas sempadan kembali menjadi perhatian selepas beberapa kawasan di Malaysia merekodkan peningkatan pencemaran udara, susulan asap daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera serta Kalimantan, Indonesia.
Setakat ini, 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Keadaan itu turut memberi tekanan kepada usaha negara ASEAN dalam menangani pencemaran udara rentas sempadan yang sebelum ini menjadi isu berulang, khususnya ketika musim kering apabila risiko kebakaran hutan dan tanah gambut meningkat.
Nasib Najib ditentukan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat esok
Wanita Malaysia ditahan bawa ganja RM2.2 juta di India: Laporan
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 25 sen
Haji 2027: B40 bayar RM15,000, T20 RM33,300
Anwar terkesan kehilangan juruterbang Zainol Afiq dalam nahas
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum