Saifuddin Nasution Ismail mengulas berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli status siasatan melibatkan anaknya yang diserang sebelum ini.
Dakwaan kononnya wujud amalan politik wang dalam PKR adalah tidak berasas sama sekali, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu menepis dakwaan dibuat oleh calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu politik wang yang mula menular dalam parti itu.
“Saya tak fikir Parti Keadilan (PKR) berada pada tahap itu. Saya tak nampak wujudnya perbuatan menggunakan wang bagi mendapatkan sokongan.
“Bagaimanapun, saya tak menafikan penggunaan wang untuk tujuan logistik seperti menganjurkan program, sewa khemah, membayar bilik hotel atau restoran terutama dalam keadaan sekarang di mana kemampuan kewangan sesetengah calon sudah meningkat berbanding zaman awal penubuhan parti.
“Berbanding zaman susah dulu, tahun 1998-1999, masa itu Rafizi masih belajar dan saya dah jadi pengasas parti. Kami buat program di warung atau rumah, kongres parti pun di dewan sekolah Cina,” katanya dipetik laporan media.
Saifuddin Nasution yang juga anggota Biro Politik PKR berkata, setakat ini tiada sebarang aduan rasmi diterima oleh lembaga disiplin parti berhubung isu tersebut.
Terdahulu, Rafizi mendakwa parti itu berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap sebagai salah satu bentuk rasuah paling sukar dibuktikan.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan agar kempen tidak dijalankan secara berlebihan hingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, beliau turut menyeru ahli parti yang mempunyai bukti wujud amalan politik wang supaya tampil membuat laporan rasmi kepada lembaga disiplin.
“Jamuan hotel lima, enam bintang, semua itu tak wajar. Saya tolak sama sekali. Masyarakat sekarang sangat sensitif. Tak boleh ada pendekatan politik macam itu, apatah lagi dalam parti yang memerintah.
“Saya menggesa ahli atau anggota parti, kalau ada bukti tentang pelakuan sebegitu, segera buat laporan kepada lembaga disiplin kerana peraturan dalam kelembagaan parti sangat jelas, ada garis panduan apa yang boleh dan tidak boleh.
“Selain itu, kekuatan sesebuah parti politik tidak sepatutnya dibina berasaskan dana sebaliknya perlu menyuntik idealisme kepada rakyat agar menerima perjuangan yang dibawa,” katanya.
Media hari ini melaporkan calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui parti itu berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap sebagai salah satu bentuk rasuah paling sukar dibuktikan.
Katanya, selain PKR, parti yang menjadi pemerintah atau kerajaan turut berdepan dengan risiko tersebut termasuk salah guna kuasa.
UMNO Negeri Sembilan sedia jadi pembangkang: Jalaluddin
UMNO berpendirian sebarang program hiburan perlu ada batas: Zahid
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan