Fahmi Fadzil.
Penjual dadah secara dalam talian dikesan menggunakan istilah tertentu bagi menyamarkan produk terlarang dan mengelirukan pihak berkuasa serta pengguna di platform digital.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata antara cabaran utama membanteras kegiatan itu ialah penjual tidak menggunakan nama saintifik atau menyatakan dengan jelas kandungan dadah dalam produk yang ditawarkan.
Katanya, taktik berkenaan termasuk penjualan fentanyl untuk penggunaan vape yang dipasarkan menggunakan istilah berbeza, namun difahami pengguna tertentu yang mengetahui cara mendapatkan bahan itu.
“Kadangkala cara sesuatu barang terlarang itu diperagakan dalam platform mereka mungkin tidak menggunakan perkataan tertentu. Jadi mereka cuba untuk bermain dengan istilah.
“Saya bagi contoh dalam isu jualan dadah terlarang, fentanyl bagi penggunaan vape. Kadangkala mereka menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza tetapi bagi pengguna, mereka mungkin mengenali dan mampu membeli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program M360 ASEAN 2026 di Hotel Grand Hyatt, di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, kegiatan penjualan barangan terlarang paling banyak dikesan pada satu platform tertentu, namun pemantauan akan diteruskan bagi memastikan dadah tidak dijual menerusi platform e-dagang.
Katanya, pengendali platform berkenaan telah dipanggil untuk mengadakan perbincangan pada Isnin lalu, namun beliau masih belum menerima taklimat berhubung hasil pertemuan itu.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata lebih 65,000 kandungan berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian secara haram masih belum diturunkan pengendali platform susulan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Jumlah itu adalah sebahagian daripada lebih satu juta permintaan penurunan kandungan yang dikemukakan MCMC kepada platform dalam talian bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos 2026.
“Kadar pematuhan 93 peratus masih meninggalkan lebih daripada 65,000 kandungan yang tidak diturunkan susulan permintaan MCMC. Jumlah itu penting,” katanya.
Fahmi menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dalam menangani kandungan dan barangan terlarang di platform digital, selain mahu pengendali platform mengambil tindakan lebih proaktif.
“Pendirian Malaysia tegas. Kita tidak akan berganjak. Mereka perlu lebih proaktif, bukan sekadar menurunkan kandungan,” katanya.
Sebelum ini, lebih 7,000 kandungan berkaitan penjualan dadah dilaporkan telah dikemukakan MCMC kepada platform dalam talian bagi tahun ini, dengan lebih 6,500 atau 93 peratus daripadanya diturunkan setakat ini.
Isu itu mencerminkan cabaran baharu penguatkuasaan apabila penjual semakin menggunakan bahasa tersirat dan istilah tertentu bagi mengelakkan kandungan mereka mudah dikesan, sekali gus memerlukan platform meningkatkan pemantauan serta tindakan pencegahan.
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum