Kes seludup ganja melibatkan warga Malaysia.
Seorang wanita rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa India selepas disyaki membawa lebih 15 kilogram ganja bernilai kira-kira RM2.24 juta ke negara itu, Jumaat lalu.
Wanita terbabit tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi dari Kuala Lumpur sebelum ditahan selepas dikenal pasti menerusi proses pemprofilan penumpang.
Kastam Delhi berkata, suspek melalui laluan hijau sebelum diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut oleh pegawai kastam.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg troli yang dibawanya menemui 30 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki ganja.
“Berat bersih bahan disyaki ganja itu ialah 15,015.5 gram dengan nilai pasaran dianggarkan 52.5 juta rupee (RM2.24 juta),” menurut kenyataan pihak kastam seperti dilaporkan media tempatan India.
Susulan penemuan itu, wanita berkenaan ditahan dan bahan disyaki ganja dirampas untuk siasatan lanjut.
Pihak berkuasa India belum mendedahkan identiti serta umur suspek.
Kes berkenaan direkodkan mengikut Seksyen 8, 20, 23 dan 29 Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1985 India.
Peruntukan itu antara lain berkaitan kesalahan memiliki, mengimport atau mengangkut dadah secara haram, selain unsur bersubahat dan konspirasi jenayah.
Kes membawa dadah melalui lapangan terbang menjadi antara fokus utama pihak berkuasa India dalam membendung penyeludupan bahan terlarang merentasi sempadan negara.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bahan terlarang itu serta tujuan ia dibawa masuk ke India.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum