Najib Razak berdepan saman SRC International.
UMNO menyatakan rasa sedih susulan keputusan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, namun menegaskan parti itu tetap menjunjung tinggi institusi diraja.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menerima keputusan berkenaan dengan penuh hormat selain berharap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim membuat keputusan terbaik untuk Najib.
“Kami bersedih dengan keputusan itu.
“Kami tetap mendaulatkan raja-raja dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik, yang akan diberikan kepada Najib,” katanya ketika ditemui media.
Kenyataan itu dibuat selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang hari ini.
Dalam keputusan mesyuarat itu, Sultan Ibrahim berkenan membebaskan 65 banduan, namun permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan berkaitan dana SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu belum menerima maklumat rasmi lanjut mengenai keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO menghormati apa juga keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong.
“Sebab itu tidak wajar untuk mana-mana pihak mempersoalkan kuasa prerogatif Seri Paduka yang dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan.
“Mengapa kita perlu bersikap berat sebelah. Di satu pihak kamu benarkan perkara ini berlaku dan kamu sokong apabila ia melibatkan orang kamu, pemimpin kamu.
“Tetapi apabila melibatkan orang lain, kamu cuba berhujah dari pelbagai sudut dan perspektif. Ini tidak betul,” katanya.
Perkembangan itu berlaku ketika isu permohonan tahanan rumah dan pengampunan tambahan Najib terus menjadi perhatian, susulan pendirian beberapa pihak mengenai hukuman terhadap individu yang disabitkan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
MCMC nafi terlibat isu dalam laporan Anthropic
MA63 perlu jadi agenda nasional: Anwar
Kerajaan setuju tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: PMX
Keputusan pengampunan Najib ditangguh ke mesyuarat akan datang
Syabu dadah utama diseludup dari Thailand: Bukit Aman
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum