Pemuda Amanah Perak gesa SPRM semak kekayaan anak Azeez

7 jam lalu · Politik

Pemuda Amanah Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti sumber kekayaan yang dikaitkan dengan anak-anak bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim, selepas maklumat mengenai simpanan mereka muncul dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 2021.

Ketua Pemuda Perak, Khairol Najib Hashim berkata, warta bertarikh 4 Mac 2021 merekodkan empat akaun simpanan Tabung Haji atas nama anak-anak Abdul Azeez dengan jumlah masing-masing sekitar RM2.9 juta hingga RM3.05 juta.

Menurutnya, keseluruhan simpanan yang direkodkan itu mencecah hampir RM12 juta.

“Rakyat berhak bertanya, dari manakah datangnya wang jutaan ringgit tersebut?” katanya dalam kenyataan media.

Khairol berkata, angka berkenaan bukan bersandarkan khabar angin atau hantaran media sosial, sebaliknya terkandung dalam dokumen berkaitan prosiding pelucuthakan harta di Mahkamah Tinggi pada ketika itu.

Beliau berkata, isu itu wajar diteliti memandangkan Abdul Azeez pernah memegang jawatan penting dalam Tabung Haji, sebuah institusi yang menguruskan simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

“Apabila jumlahnya begitu besar dan melibatkan keluarga seorang individu yang pernah memegang kedudukan penting dalam institusi yang menguruskan amanah jutaan umat Islam, penelitian sewajarnya adalah demi kepentingan awam,” katanya.

Khairol turut mengakui memiliki kekayaan bukan satu kesalahan dan seseorang tidak wajar dihukum hanya berdasarkan kekayaan keluarganya.

Bagaimanapun, beliau berkata kewujudan pelbagai gambar yang memaparkan gaya hidup mewah serta kenderaan mewah yang dikaitkan dengan ahli keluarga Abdul Azeez di media sosial menambahkan persoalan yang perlu dijawab berdasarkan fakta.

“Kalau semuanya datang daripada sumber pendapatan dan perniagaan yang sah, jelaskan dan bersihkan nama mereka. Jika terdapat transaksi yang meragukan atau sumber yang tidak dapat dijelaskan, maka siasatlah tanpa takut dan tanpa pilih kasih,” katanya.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan perhatian semasa terhadap Abdul Azeez susulan siasatan polis berkaitan pemberian hibah Tabung Haji.

Khairol menegaskan pihaknya tidak mahu sesiapa dihukum berdasarkan persepsi, sebaliknya hanya meminta SPRM menjalankan penelitian bagi memastikan sumber kekayaan berkenaan dapat dijelaskan.

“Jangan ada dua darjat dalam soal integriti. Kalau rakyat biasa boleh ditanya dari mana datangnya wang, mereka yang pernah berada dekat dengan kuasa juga tidak sepatutnya terkecuali,” katanya.

Isu pengurusan Tabung Haji sebelum ini beberapa kali menjadi perhatian awam, khususnya berkaitan tadbir urus, pengurusan aset dan kedudukan kewangan institusi berkenaan. Tabung Haji mengurus simpanan umat Islam Malaysia bagi membolehkan mereka membuat persediaan kewangan untuk menunaikan ibadah haji.

Berita berkaitan
Zahid jangan bawa politik ‘budak-budak’ ke Putrajaya: Mahfuz
September 11, 2026· Politik
‘Penguatkuasaan undang-undang bukan serangan terhadap UMNO’ – Sheikh Umar
3 jam lalu· Politik
Jangan takut RCI Tabung Haji jika tidak salah, kata AMK kepada UMNO
11 jam lalu· Politik
RCI Tabung Haji: Bekas menteri didakwa Isnin depan atas 3 pertuduhan
12 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Zahid jangan main politik isu BUDI95: ADUN Buntong
3 jam lalu · Politik
DUN Melaka bakal bubar, Ab Rauf beri bayangan bulan ini
3 jam lalu · Politik
PRU16: Zahid mahu mandat dikembali kepada rakyat
8 jam lalu · Politik
Zahid mahu GST kembali, puji sistem era Najib
9 jam lalu · Politik
Pimpinan PAS muncul di PAU, kerjasama pilihan raya jadi tanda tanya
11 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok