Zahid jangan bawa politik ‘budak-budak’ ke Putrajaya: Mahfuz

September 11, 2026 · Politik

Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan perubahan istilah “Kerajaan Perpaduan” kepada “Kerajaan Madani” sebagai isu kecil yang tidak wajar dibesar-besarkan.

Menurut Mahfuz, tumpuan pemimpin politik sepatutnya diberikan kepada amanah dan prestasi kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat, bukan mempertikaikan nama sesebuah kerajaan.

“Kalau benar mahu politik matang, janganlah politik negara dilayan seperti budak-budak berebut nama kumpulan permainan.

“Malaysia bukan permainan budak-budak. Putrajaya bukan gelanggang untuk berebut siapa paling berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata beliau bersetuju dengan pendirian Zahid supaya janji dan persefahaman politik dihormati, namun prinsip sama perlu diterapkan kepada semua pihak termasuk UMNO.

Beliau merujuk kenyataan Zahid sebelum ini, “Jangan bina persefahaman pada waktu siang, tetapi menjatuhkan rakan pada waktu malam.”

“Nasihat itu baik. Tetapi saya ingin mengingatkan jangan hanya suruh orang lain melihat cermin. Diri sendiri juga perlu berani melihat cermin sendiri,” katanya.

Mahfuz berkata kerjasama dalam Kerajaan Madani tidak bermaksud parti-parti yang membentuk kerajaan perlu mengorbankan identiti masing-masing.

“UMNO tetap UMNO, Amanah tetap Amanah dan parti-parti lain tetap dengan identiti masing-masing. Tetapi apabila duduk dalam satu kerajaan, amanah kepada rakyat mesti lebih besar daripada kepentingan parti,” katanya.

Beliau turut menyifatkan politik yang terlalu menumpukan soal nama dan kedudukan sebagai sesuatu yang semakin tidak disenangi rakyat.

Katanya, rakyat hari ini lebih mengambil berat isu kos sara hidup, bantuan kepada golongan memerlukan, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, usaha membanteras rasuah dan pengukuhan institusi negara.

“Rakyat mahu tahu apa perancangan masa depan untuk mereka. Ekonomi berkembang atau tidak, peluang pekerjaan bertambah atau tidak, rasuah diperangi atau tidak dan kehidupan rakyat bertambah baik atau tidak.

“Itulah ukuran kerajaan,” katanya.

Mahfuz berkata perubahan nama atau pendekatan kerajaan tidak seharusnya menjadi pertikaian besar selagi pentadbiran terus memberi manfaat kepada rakyat.

“Nama boleh berubah. Pendekatan boleh diperbaharui. Tetapi amanah kepada rakyat tidak boleh berubah,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Zahid mengenai “Kerajaan Perpaduan bertukar menjadi Kerajaan Madani” tidak perlu dijadikan polemik politik.

“Orang dewasa bercakap tentang masa depan negara. Budak-budak bergaduh tentang nama permainan. Jangan bawa politik seperti itu ke Putrajaya,” katanya.

Mahfuz menegaskan Malaysia bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya milik rakyat.

“Manusia diikat dengan janji, tetapi pemimpin diikat dengan amanah rakyat,” katanya.

Latar belakang: Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, sebelum pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih banyak menggunakan istilah Kerajaan Madani bagi merujuk kepada pentadbirannya.

Berita berkaitan
Zahid jangan main politik isu BUDI95: ADUN Buntong
2 jam lalu· Politik
‘Penguatkuasaan undang-undang bukan serangan terhadap UMNO’ – Sheikh Umar
2 jam lalu· Politik
Pemuda Amanah Perak gesa SPRM semak kekayaan anak Azeez
6 jam lalu· Politik
MA63 perlu jadi agenda nasional: Anwar
6 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
DUN Melaka bakal bubar, Ab Rauf beri bayangan bulan ini
3 jam lalu · Politik
PRU16: Zahid mahu mandat dikembali kepada rakyat
7 jam lalu · Politik
Zahid mahu GST kembali, puji sistem era Najib
9 jam lalu · Politik
Pimpinan PAS muncul di PAU, kerjasama pilihan raya jadi tanda tanya
10 jam lalu · Politik
Sampai 2039, rakyat masih tanggung hutang 1MDB: PKR
10 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok