Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menghadiri Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-269 di Istana Negara hari ini.
Pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman berkemungkinan diumum esok oleh pihak Majlis Raja-Raja, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata demikian selepas perbincangan panjang berhubung perkara terbabit diadakan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini berhubung isu badan kehakiman tertinggi negara.
“Pagi ini saya sudah berbincang panjang dengan Majlis Raja-Raja dan saya fikir biarlah mereka yang membuat keputusan dan esok, mudah-mudahan akan ada satu pengumuman yang akan menolak semua persepsi negatif terbabit.
“Insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa kerajaan ini, Kerajaan Madani benar-benar komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 hari ini.
Anwar berkata, beliau mengakui wujud kebimbangan dalam isu terbabit, selain menimbulkan persepsi kononnya beberapa pelantikan ke jawatan penting dalam institusi kehakiman mungkin terjejas.
“Saya boleh beri jaminan, perkara itu tidak berlaku. Saya pasti rakan-rakan saya dalam bidang perundangan menghormati hakikat bahawa kita mesti bekerja berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan persepsi.
“….dan soal persepsi biarlah jadi urusan ahli politik. Hanya dengan cara itu kita boleh terus mentadbir dengan baik.
“Saya harap ia tidak menjejaskan pendirian Majlis Peguam, kerana itulah yang mereka percaya dan walaupun saya menafikannya dengan keras, ia masih belum memuaskan hati sebahagian daripada mereka, mungkin kerana permainan politik tertentu,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan kebebasan badan kehakiman dihormati.
“Perkara itu tidak berlaku, saya tidak mahu mereka (Majlis Peguam) pula datang dan berkata, tidak, tidak, anda buat keputusan itu kerana berada di bawah tekanan.
“Azalina (Azalina Othman Said, Menteri Undang-Undang) tahu perkara sebenar, Ketua Setiausaha Negara juga tahu fakta bahawa tiada sebarang kes atau nama yang dipersoalkan atau dianggap kontroversi pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja,” katanya.
Justeru, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman.
“Selepas lebih dua setengah tahun saya memegang jawatan, saya tidak pernah membincangkan sebarang kes dengan mana-mana hakim, bukan dengan Ketua Hakim, mahupun mana-mana hakim lain. Saya berpegang teguh kepada prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Isu PRN Melaka: MP DAP dan Akmal bertikam lidah
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan