Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said meminta segala persoalan mengenai penangguhan permohonan pengampunan Najib Razak dirujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Azalina menegaskan beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan Lembaga Pengampunan, walaupun Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) berada di bawah kementeriannya.
Menurutnya, BHEUU hanya memainkan peranan sebagai sekretariat, manakala wakil eksekutif dalam Lembaga Pengampunan terdiri daripada menteri atau menteri besar negeri berkaitan.
“Saya sebenarnya dapat maklumat pun daripada kenyataan dikeluarkan oleh BHEUU. Saya bukan menteri bertanggungjawab.
“Walaupun BHEUU bawah saya, isu Lembaga Pengampunan tiap-tiap negeri, BHEUU adalah sekretariat tetapi menteri dan menteri besar negeri berkenaan adalah wakil eksekutif dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kayuhan Fashionista: Bulan Kebangsaan Dua Sambutan Satu Jiwa, hari ini.
Azalina turut menolak untuk mengulas sebab permohonan pengampunan Najib ditangguhkan serta bila mesyuarat seterusnya akan diadakan.
Sebaliknya, beliau secara jelas mengarahkan pertanyaan itu kepada Hannah.
“Apa-apa soalan, apa berlaku, kenapa ditangguh, tarikh baharu… semua kena tanya menteri bertanggungjawab, YB Hannah Yeoh.
“Saya tidak ambil maklum langsung. Jadi, saya tidak dapat jawab,” katanya.
Penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu menjadi perhatian selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan supaya perkara berkenaan ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada Jumaat lalu.
BHEUU Jabatan Perdana Menteri memaklumkan dalam mesyuarat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan 65 banduan.
Penangguhan itu bagaimanapun mencetuskan persoalan mengenai sebab permohonan Najib tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan, termasuk bila ia akan dibawa semula untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.
PAS sebelum ini turut mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera, dengan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan menyifatkan isu itu membabitkan kepentingan awam.
Kini, Azalina pula menegaskan jawapan kepada persoalan tersebut bukan berada di bawah tanggungjawabnya, sebaliknya perlu diperoleh daripada Hannah selaku menteri yang dirujuknya sebagai pihak bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum