Mohamad Sabu.
Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu mengingatkan ahli parti supaya melihat kuasa politik sebagai amanah untuk melaksanakan kebaikan, keadilan dan reformasi, bukan peluang mengutamakan kepentingan diri atau kelompok tertentu.
Beliau berkata, pengalaman Amanah sepanjang 11 tahun penubuhannya menunjukkan kuasa politik penting bagi memastikan sesuatu gagasan dapat diterjemahkan kepada dasar dan tindakan.
“Dalam politik, kuasa itu penting. Tanpa kuasa, banyak perkara hanya tinggal sebagai cadangan dan cita-cita.
“Dengan kuasalah dasar boleh dilaksanakan, undang-undang diperbaiki, institusi diperkukuhkan dan keadilan ditegakkan,” katanya dalam perutusan sempena ulang tahun ke-11 Amanah hari ini.
Menurut Mohamad, kuasa perlu disertai tanggungjawab kerana penyalahgunaannya boleh membawa kemudaratan kepada rakyat dan negara.
“Kebaikan memerlukan kekuatan untuk dilaksanakan, manakala keadilan pula memerlukan kuasa untuk ditegakkan.
“Namun, kuasa hadir bersama amanah dan akan membawa kemudaratan sekiranya digunakan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu,” katanya.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan sejarah perjuangan Rasulullah SAW selepas penghijrahan ke Madinah yang bukan sekadar menyampaikan risalah, malah memimpin masyarakat, menyusun pentadbiran, menjaga keamanan serta mempertahankan masyarakat daripada ancaman.
Mohamad berkata, Amanah sejak awal memilih pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin dengan membawa gagasan Islam yang menekankan rahmat, keadilan dan kebaikan kepada semua tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Kita mahu politik yang menyatukan, bukan memecahkan. Politik yang mencari penyelesaian kepada masalah rakyat, bukan menjadikan perbezaan sebagai modal permusuhan.
“Kalau kita bercakap soal rahmah, rakyat mesti dapat merasainya melalui kerja kita,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan ahli Amanah supaya memahami perubahan geopolitik dunia kerana konflik di Palestin, Asia Barat dan persaingan kuasa besar boleh memberi kesan kepada ekonomi, keselamatan serta bekalan makanan Malaysia.
Katanya, konflik antarabangsa tidak wajar dilihat hanya melalui sudut kaum, agama atau mazhab kerana terdapat faktor lain seperti perebutan kuasa, pengaruh, sumber dan kepentingan geopolitik.
“Kalau kita tidak memahami percaturan ini, kita mudah dipengaruhi oleh propaganda orang lain,” katanya.
Mengimbas perjalanan Amanah, Mohamad berkata parti itu melalui beberapa fasa politik termasuk menjadi pembangkang, mentadbir kerajaan, kembali menjadi pembangkang dan kini terlibat dalam pentadbiran negara.
Beliau turut mengenang jasa pejuang awal parti yang telah meninggal dunia, termasuk Salahuddin Ayub yang banyak menyumbang dalam pembinaan Amanah.
Memasuki tahun ke-12, beliau berkata Amanah akan memberi tumpuan kepada pengukuhan parti, mendekati rakyat serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda dan wanita.
“Agenda reformasi juga mesti terus diperjuangkan. Apa yang perlu diperbaiki, kita perbaiki. Penyelewengan mesti ditentang dan institusi negara mesti terus diperkukuhkan,” katanya.
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
AGC: Kerajaan Negeri Sembilan tiada kuasa gantung dua pegawai kanan
Sivamalar soal Akmal: Kenapa diam isu Istana Negeri Sembilan?
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum