Fadhli Umar Aminolhuda.
UMNO dipersoalkan mengenai cadangan menggerakkan tabung bagi membantu negara mendapatkan semula dana yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, selepas parti itu berjaya mengumpulkan lebih RM634,000 dalam tempoh tiga jam untuk Tabung Solidariti Najib Razak.
Persoalan itu dibangkitkan Exco Pemuda Parti Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda yang mempersoalkan mengapa kekuatan jentera UMNO tidak digunakan bagi membantu memulihkan kerugian negara.
Beliau merujuk kutipan RM634,562.02 yang diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki dalam tempoh tiga jam selepas tabung itu dilancarkan.
“Jika UMNO mempunyai kemampuan menggerakkan jentera sehingga ratusan ribu ringgit dapat dikumpulkan dalam masa beberapa jam, mengapa kekuatan yang sama tidak digerakkan untuk membantu negara memulihkan kerugian akibat skandal kewangan yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri?
“Di manakah Tabung Solidariti untuk rakyat Malaysia? Di manakah kutipan besar-besaran untuk membantu memulihkan dana negara?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadhli, persoalan itu timbul susulan UMNO melancarkan tabung khas bagi membantu Najib Razak melunaskan denda RM50 juta.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan sabitan Najib dalam kes SRC International, yang melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana syarikat berkenaan.
“Persoalannya, apakah sebenarnya yang mahu disolidaritikan oleh UMNO? Najib Razak bukan sedang dihukum kerana memperjuangkan rakyat,” katanya.
Fadhli turut mempersoalkan jumlah kerugian negara yang dikaitkan dengan 1MDB serta manfaat kepada rakyat sekiranya dana berkenaan dapat dipulihkan.
“Tahukah Dr Asyraf Wajdi bahawa dengan jumlah RM20 bilion itu sekurang-kurangnya 10 hospital pakar, 100 klinik kesihatan, 150 sekolah dan 40,000 unit rumah rakyat dapat disediakan?” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden DAP Johor, Sheikh Omar Ali turut mempersoalkan rasional kutipan dana bagi membantu Najib membayar denda.
Kontroversi itu tercetus selepas UMNO mengumumkan tabung berkenaan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Pada 2024, hukuman Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum