Kes scam..
Ketakutan selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa menyebabkan seorang ibu tunggal berusia lingkungan 50-an kehilangan kira-kira RM1.2 juta kepada sindiket penipuan.
Mangsa yang bekerja sebagai pengurus bukan sahaja mengeluarkan wang daripada akaun bank, malah sanggup menjual barangan kemas bernilai kira-kira RM500,000 bagi memenuhi arahan suspek.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa dipercayai menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya terbabit dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Menurutnya, mangsa yang panik kemudian mengikut segala arahan diberikan suspek termasuk membuka akaun bank baharu serta memindahkan dan mengeluarkan wang.
“Dia punyalah takut sampai dua bulan dia ambil masa untuk buat laporan. Dia tidak kongsi perkara tersebut dengan orang lain.
“Sampai habis, akaun dia licin,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, mangsa turut menggunakan wang daripada sumber simpanan lain termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain menjual barangan kemas bagi memenuhi permintaan sindiket.
Mangsa hanya tampil membuat laporan polis selepas dua bulan mengikuti arahan suspek.
“Ini masalahnya. Padahal dia tidak terlibat pun dalam kes itu, dia tahu dia tidak terlibat tetapi kerana terlalu takut, akhirnya jadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, polis sudah mengesan sindiket yang dipercayai terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah panik sekiranya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mereka mewakili polis, Bank Negara Malaysia atau agensi kerajaan lain.
Katanya, orang ramai perlu membuat semakan terus dengan agensi berkaitan sekiranya menerima panggilan mencurigakan.
“Kalau polis, Bank Negara atau mana-mana agensi hendak ambil tindakan, mesti dipanggil.
“Kalau rasa takut sangat, tutup telefon dan hubungi agensi berkaitan untuk membuat semakan,” katanya.
Kes penipuan telefon atau *phone scam* lazimnya menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai polis, bank atau agensi kerajaan sebelum menakutkan mangsa dengan dakwaan terbabit dalam kes jenayah atau kewangan.
Sindiket kemudian mengambil kesempatan terhadap keadaan panik mangsa untuk mendapatkan maklumat perbankan atau mengarahkan pemindahan wang ke akaun tertentu.
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum