PKR.
Wanita PKR menggesa semua pihak tidak menjadikan institusi raja sebagai medan percaturan politik atau pertarungan kuasa susulan perkembangan yang berlaku di Negeri Sembilan.
Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, sebarang perbezaan pandangan berkaitan kedudukan Undang atau proses adat perlu diselesaikan mengikut saluran dan tatacara yang sah.
Beliau berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta adat negeri perlu menjadi panduan kepada semua pihak dalam menangani kemelut berkenaan.
“Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan. Dalam kerangka ini, setiap institusi mempunyai bidang kuasa dan batas yang mesti dihormati.
“Kuasa eksekutif tidak boleh digunakan untuk mengambil alih peranan yang diperuntukkan kepada institusi lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Fadhlina berkata, Wanita PKR memandang serius perkembangan di Negeri Sembilan, khususnya tindakan Menteri Besar dan barisan Exco berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurutnya, sebarang pertikaian mengenai institusi diraja tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pihak eksekutif mengambil tindakan di luar bidang kuasa ditetapkan.
“Justeru, Wanita PKR menggesa semua pihak supaya menghentikan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan serta memberikan ruang kepada proses yang sah untuk berjalan.
“Mempertahankan institusi raja bukan soal keberpihakan politik, ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan Perlembagaan dihormati dan institusi Raja terus dimartabatkan,” katanya.
Kenyataan itu hadir selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, sebelum ini mengingatkan semua pihak supaya menghormati bidang kuasa Negeri Sembilan dalam menyelesaikan kemelut membabitkan pentadbiran dan institusi diraja negeri itu.
Azalina turut menegaskan sebarang tindakan atau keputusan berkaitan isu berkenaan perlu mengambil kira pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selaras dengan Perlembagaan serta UUTKNS 1959.
Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan beraja yang unik melalui Adat Perpatih. Pemilihan Yang di-Pertuan Besar turut melibatkan Undang Yang Empat, menjadikan soal adat dan peruntukan undang-undang negeri penting dalam menentukan proses berkaitan institusi diraja.
Tindakan RoS gantung PN bukan dibuat sewenang-wenangnya: Zahid
MB sahkan Exco Negeri Sembilan dilarang masuk pejabat selepas titah Tuanku
Anthony Loke kekal pendirian letak jawatan: Bernama
PN ambil tindakan undang-undang selepas digantung RoS: Takiyuddin
Semua kegiatan PN digantung selepas terima aduan Bersatu: RoS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum