Jerebu.
Ibu bapa boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbang keadaan jerebu menjejaskan kesihatan mereka, dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kebimbangan ibu bapa terhadap keadaan jerebu ketika ini difahami, malah aspek kesihatan dan keselamatan murid kekal menjadi keutamaan kementerian.
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), terutama di kawasan yang terjejas akibat jerebu.
Beliau berkata, sebarang tindakan berkaitan operasi sekolah dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pagi ini, Samarahan, Sarawak merekodkan bacaan 226, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sebanyak 40 kawasan lain di seluruh negara pula merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, manakala 24 kawasan berada pada tahap sederhana dan dua kawasan mencatatkan bacaan baik.
Di Johor, kerajaan negeri turut mengesahkan sekolah akan ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan pihak berkuasa.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah diminta mengemas kini data bacaan IPU semasa untuk rujukan ibu bapa, pelajar dan guru.
Perkembangan itu memberi ruang kepada ibu bapa membuat pertimbangan terhadap keadaan kesihatan anak masing-masing ketika kualiti udara semakin merosot, selain memastikan pihak sekolah dimaklumkan sekiranya anak tidak hadir akibat kebimbangan terhadap kesan jerebu.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum