Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, bukan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Pakatan Harapan (PH), tegas Fadhlina Sidek.
Ketua Wanita PKR itu berkata kuasa memberikan pengampunan terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mesti jujur dengan fakta. Pengampunan adalah wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Wanita PKR menghormati keputusan tersebut dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan,” katanya menerusi Facebook.
Fadhlina turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk mengaburkan kedudukan Perlembagaan atau menggambarkan keputusan pengampunan itu sebagai keputusan Perdana Menteri atau PH.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 menerusi pengampunan bersyarat.
Keputusan itu turut menetapkan syarat pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat lain yang dikenakan.
Perkembangan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi politik, termasuk desakan pemimpin Parti Bersama Malaysia, Rafizi Ramli, supaya Anwar dan kepimpinan PH mendedahkan syarat penuh berkaitan tahanan rumah Najib.
Mengulas reaksi terhadap keputusan itu, Fadhlina mengakui pengampunan bersyarat berkenaan sememangnya mengundang kekecewaan dan kemarahan dalam kalangan sesetengah pihak.
“Kita tidak harus berpura-pura perasaan itu tidak wujud. Rakyat berhak bersuara dan mendapatkan penjelasan.
“Kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat,” katanya.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas hukuman asal 12 tahun dikurangkan melalui keputusan pengampunan dalam kes SRC International.
Beliau mula menjalani hukuman pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman dalam kes berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar dilaporkan menegaskan keputusan pengampunan itu tidak menjejaskan prinsip kerajaan untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa.
Isu pengampunan Najib kini turut menjadi perhatian terhadap persoalan ketelusan syarat tahanan rumah serta tanggungjawab kerajaan memberikan penjelasan kepada rakyat, khususnya berhubung perkara yang berada dalam bidang kuasa Lembaga Pengampunan.
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum