Rais Yatim.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka di Ayer Keroh, esok.
Menurut sistem e-Kehakiman, Rais dijadualkan hadir di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin pada jam 9 pagi.
Rais, 84, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan prosiding akan berlangsung di Kompleks Mahkamah Melaka.
Bagaimanapun, butiran pertuduhan yang bakal dihadapi beliau masih belum diketahui.
“Ya, saya akan hadir di Mahkamah Melaka esok,” katanya dipetik laporan FMT.
Perkembangan itu berlaku ketika nama Rais sebelum ini menjadi perhatian susulan kemelut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.
Pada Julai lalu, Istana Negeri Sembilan menarik balik darjah kebesaran negeri yang pernah dikurniakan kepada Rais, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Zafir Ibrahim, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat bagi memelihara kemuliaan dan kehormatan institusi diraja negeri.
Rais sebelum ini secara terbuka menyokong langkah tiga undang dan seorang bekas undang yang dikaitkan dengan usaha mencabar kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau turut hadir dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka pada Jun lalu ketika Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar didakwa diisytiharkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menegaskan pengisytiharan itu tidak sah dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat Negeri Sembilan.
Rais yang pernah menjadi Ahli Parlimen Jelebu selama enam penggal juga merupakan bekas pemimpin UMNO dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Wawasan.
Prosiding di Mahkamah Sesyen Melaka esok dijangka memberi gambaran awal mengenai pertuduhan yang akan dikenakan terhadap beliau serta perkembangan lanjut kes berkenaan.
SPR bincang tarikh PRN Melaka 7 Oktober
RoS gantung PN: Bersatu dakwa perlembagaan dilanggar
Notis RoS: Bersatu mahu Perlembagaan PN dipatuhi, elak buat keputusan unilateral
Denda RM50 juta: Najib belum buat bayaran, peguam nafi khabar angin
Notis RoS: Mahfuz bidas PAS salahkan kerajaan walhal PN sendiri ada konflik dalaman
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum