Rais Yatim.
Bekas Senator Dewan Negara, Rais Yatim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.
Rais, 84, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin. Beliau turut memohon untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan yang didakwa mempunyai kecenderungan menghasut pada kira-kira jam 1 tengah hari, 5 Jun lalu, di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah.
Antara kenyataan yang dipertuduhkan ialah berkaitan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12.
“Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12, melakukan apa saja hal-hal kedirajaan.
“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan,” menurut petikan kenyataan dalam pertuduhan.
Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Jika disabitkan, beliau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar yang mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, barisan peguam yang mewakili Rais termasuk anaknya, Danni Rais, bersama Sheela Menon, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Ahmad Soleh Yusof dan Syahmi Aiman Mohamad Nasir memohon jumlah jaminan lebih rendah.
Peguam memaklumkan Rais memberikan kerjasama dengan hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan kira-kira jam 10.30 malam pada Khamis.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin. Kes akan disebut semula pada 27 Oktober depan.
Kes itu mendapat perhatian susulan kenyataan Rais berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dibuat dalam satu majlis di Melaka pada Jun lalu.
SPR bincang tarikh PRN Melaka 7 Oktober
RoS gantung PN: Bersatu dakwa perlembagaan dilanggar
Notis RoS: Bersatu mahu Perlembagaan PN dipatuhi, elak buat keputusan unilateral
Denda RM50 juta: Najib belum buat bayaran, peguam nafi khabar angin
Notis RoS: Mahfuz bidas PAS salahkan kerajaan walhal PN sendiri ada konflik dalaman
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum