Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Cadangan memasang kawat duri, lampu sorot dan menempatkan pengawal bersenjata di kediaman Najib Razak jika beliau menjalani tahanan rumah disifatkan sebagai tidak masuk akal oleh peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah.
Shafee berkata, konsep tahanan rumah sepatutnya membolehkan seseorang menjalani hukuman di kediaman dengan sekatan dan syarat tertentu, tanpa menjadikan rumah berkenaan seperti sebuah penjara.
Beliau berkata, pelaksanaan tahanan rumah bukan hanya berkaitan Najib, sebaliknya satu bentuk pengaturan hukuman yang boleh digunakan kepada banduan mengikut syarat ditetapkan.
“Kenapa tidak dipasang kawat duri di sekeliling rumah Najib, letakkan lampu dan bina rumah pengawal yang tinggi untuk pengawal duduk di situ dengan membawa submesin gun?
“Cadangan itu tidak masuk akal kerana ia tidak selari dengan rasional pelaksanaan tahanan rumah,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Shafee turut menjelaskan tahanan rumah berbeza daripada parol atau pengurangan hukuman kerana kedua-duanya mempunyai mekanisme dan tujuan berbeza.
“Tahanan rumah tiada kaitan dengan parol, tiada kaitan dengan pengurangan hukuman, langsung tiada,” katanya.
Menurutnya, pengurangan hukuman boleh memendekkan tempoh hukuman seseorang banduan berdasarkan syarat tertentu, manakala parol pula membabitkan proses berasingan melalui Lembaga Parol.
Sebaliknya, tahanan rumah bermaksud seseorang masih menjalani hukuman tetapi di luar institusi penjara, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Shafee berkata, pengaturan seumpama itu bukan perkara luar biasa dan beliau pernah melihat notis berkaitan lesen yang membolehkan banduan meninggalkan penjara untuk tempoh tertentu, termasuk ketika musim perayaan.
“Lesen ini ialah tahanan rumah, tetapi tahanan rumah itu dilaksanakan atau diuruskan melalui pengaturan lesen. Saya beri anda lesen untuk keluar dari penjara, ini syarat-syaratnya. Jika anda langgar syarat, anda kembali ke penjara,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata banyak perbincangan mengenai kemungkinan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ketika ini masih berasaskan spekulasi.
Menurutnya, pasukan guaman Najib sendiri masih belum menerima surat rasmi yang memperincikan syarat pengampunan bersyarat berkenaan.
Najib, 73, kini masih menjalani hukuman di Penjara Kajang sementara menunggu pelaksanaan syarat berkaitan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman bagi kes SRC International di kediaman.
Prosiding hari ini turut berkaitan permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPR bincang tarikh PRN Melaka 7 Oktober
RoS gantung PN: Bersatu dakwa perlembagaan dilanggar
Notis RoS: Bersatu mahu Perlembagaan PN dipatuhi, elak buat keputusan unilateral
Notis RoS: Mahfuz bidas PAS salahkan kerajaan walhal PN sendiri ada konflik dalaman
Krisis Negeri Sembilan: Aminuddin persoal tindakan Ismail tandatangan proklamasi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum