Kes Irene Sofiya: Fadhlina minta hentikan spekulasi

October 5, 2026 · Isu semasa

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, diseret dari surau ke dewan sekolah sebelum ditemukan maut di Yong Peng, Johor.

Fadhlina turut menafikan dakwaan terdapat cermin pecah di surau yang dikaitkan dengan kejadian itu.

Menurutnya, penyebaran dakwaan tidak benar hanya akan menambah kesedihan keluarga mangsa, selain boleh menjejaskan proses siasatan membabitkan suspek yang juga masih bawah umur.

“Ada dakwaan mengatakan mangsa diseret dari surau ke dewan tempat kejadian serta dakwaan cermin pecah di surau, ini semua tidak benar. Jangan kita menambah luka dengan spekulasi.

“Saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu. Kita sedang bercakap mengenai seorang anak yang sudah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Fadhlina pada masa sama menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Irene Sofiya dan menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan kes kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, sekolah berkenaan mempunyai kemudahan kamera litar tertutup (CCTV), namun kamera tidak dipasang di lokasi kejadian.

Susulan itu, KPM sedang menyemak aspek keselamatan sekolah termasuk rekod rondaan serta pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Sekolah itu ada CCTV, cuma CCTV itu tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku.

“Sebab itu saya katakan, mana-mana sekolah yang sudah mempunyai CCTV tetapi tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan kepada kita untuk ditambah baik fungsinya supaya dapat merakam kejadian di sekolah,” katanya.

Fadhlina turut menegaskan tindakan boleh dikenakan terhadap syarikat kawalan keselamatan sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran syarat kontrak, termasuk tindakan kewangan atau penamatan kontrak.

Dalam sidang media yang berlangsung dalam suasana penuh emosi itu, Fadhlina beberapa kali dilihat menahan sebak ketika bercakap mengenai keselamatan pelajar.

“Saya bercakap bukan sahaja sebagai menteri, tetapi sebagai seorang ibu. Anak-anak saya melalui sistem persekolahan dan pendidikan yang sama. Anak-anak saya semua sekolah kerajaan.

“Saya juga pernah menghantar anak ke sekolah dan menyerahkan mereka kepada guru serta pihak sekolah seperti ibu bapa yang lain,” katanya.

Fadhlina turut menjelaskan setiap kes berkaitan sekolah tetap melalui proses siasatan dan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing walaupun tidak lagi mendapat perhatian media.

“Kes tidak terhenti hanya kerana ia tidak lagi menjadi tajuk berita atau perbualan di media sosial. Siasatan, tindakan tatatertib, proses undang-undang dan intervensi berkaitan terus berjalan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Irene Sofiya, 16, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah pada kira-kira 5.50 petang.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira 7 malam pada hari sama.

Suspek direman selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes itu kini menjadi perhatian susulan usia mangsa dan suspek, selain persoalan berkaitan aspek keselamatan di sekolah serta penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial.

Berita berkaitan
24 kawasan catat IPU tidak sihat, Johor tertinggi
October 17, 2026· Isu semasa
Jerebu: KPM tutup sekolah di lapan PPD Selangor
October 15, 2026· Isu semasa
Jerebu: Fadhlina jelaskan sekolah ditutup apabila IPU Cecah 200
October 15, 2026· Isu semasa
Jerebu: KPM pantau situasi, maklumat penutupan sekolah ditambah baik
October 12, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
October 24, 2026 · Isu semasa
Dana Inovasi Media: Fahmi mahu AI bantu wartawan, bukan ganti mereka
October 24, 2026 · Isu semasa
Kes scam: Tawaran komisen RM1,200, wanita rugi RM72,467
October 24, 2026 · Isu semasa
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
17 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat Facebook gagal sekat video serangan guru: Fahmi
20 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok