Sindiket Filipina bayar RM210,000 sewa jet peribadi: Polis

October 9, 2026 · Isu semasa

Sebuah jet peribadi yang beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dipercayai digunakan sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup 521 kilogram (kg) syabu dari Laos ke Filipina.

Perkhidmatan penerbangan itu dilaporkan ditempah seorang warga Filipina yang dipercayai dalang sindiket berkenaan dengan bayaran AS$49,500 atau kira-kira RM210,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata, tempahan dibuat kira-kira seminggu sebelum kejadian pada 23 September lalu.

Menurutnya, berdasarkan manifes penerbangan, perjalanan itu pada asalnya dinyatakan untuk membawa barangan yang didakwa sebagai vape dari Laos ke Manila.

“Bagaimanapun, kita percaya perkhidmatan itu telah digunakan sindiket bagi tujuan menyeludup dadah dari Laos ke Filipina,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, polis masih menyiasat sama ada kegiatan itu hanya melibatkan laluan Laos-Filipina atau terdapat cubaan membawa dadah berkenaan masuk ke Malaysia.

Polis turut menyalurkan maklumat kepada Pihak Berkuasa Dadah Filipina (PDEA) bagi membantu mengesan individu yang membuat tempahan penerbangan itu, yang dipercayai berada di Filipina.

Hussein berkata, siasatan juga tertumpu kepada kemungkinan pemilik syarikat penerbangan mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit atau sekadar menjadi mangsa penyalahgunaan perkhidmatan.

“Kita mempunyai beberapa butiran berkaitan individu yang membuat tempahan dan kita akan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur antarabangsa kerana ia membabitkan beberapa negara,” katanya.

Beliau menegaskan, berdasarkan siasatan setakat ini, dadah berkenaan bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya dibawa dari Laos untuk dihantar ke Filipina.

“Kita percaya laluan itu adalah dari kawasan Segi Tiga Emas ke negara destinasi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan empat individu termasuk seorang juruterbang rakyat Malaysia yang juga pemilik pesawat ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan cubaan menyeludup 521kg syabu dari Laos ke Filipina pada 1 Oktober lalu.

Mereka terdiri daripada juruterbang berusia 49 tahun, pembantu juruterbang warga Singapura berusia 47 tahun serta dua wanita rakyat Malaysia masing-masing berusia 37 dan 33 tahun yang bekerja sebagai doktor dan jururawat.

Kes itu kini disiasat bagi mengenal pasti peranan setiap individu serta kemungkinan penglibatan rangkaian penyeludupan dadah rentas negara.

Berita berkaitan
Kes dadah 521kg di Laos: Empat individu ditahan dalam serbuan di Subang
October 7, 2026· Isu semasa
Seorang warga Malaysia ditahan di Laos, 521kg methamphetamine dirampas
October 6, 2026· Isu semasa
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
September 22, 2026· Isu semasa
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
September 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
3 jam lalu · Isu semasa
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
3 jam lalu · Isu semasa
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
4 jam lalu · Isu semasa
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
4 jam lalu · Isu semasa
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
4 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok