Kes mahkamah membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih berkhidmat dan seorang bekas pegawai agensi itu membela diri atas pertuduhan merompak wang tunai hampir RM1 juta milik seorang ahli perniagaan warga China pada 2021.
Hakim Arief Emran Arifin membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan ketiga-tiga tertuduh tahun lalu selepas memutuskan kes prima facie telah dibuktikan.
Beliau memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika mendapati bukti pendakwaan terhadap Haffiz Radzi, Fahmee Nor dan Azwan Asli tidak mencukupi untuk mengarahkan mereka membela diri.
Ketiga-tiga mereka didakwa merompak ahli perniagaan Kun Gao dengan mengambil wang tunai RM952,690 dan 1,225 yuan, selain sebuah beg bagasi serta beg berjenama Louis Vuitton di kediaman mangsa di Jalan Ampang pada 10 Disember 2021.
Ketika mendengar rayuan pendakwaan, Arief membangkitkan persoalan mengenai tindakan membawa harta yang didakwa dirampas ketika siasatan ke rumah pegawai terbabit, bukannya ke ibu pejabat SPRM untuk direkodkan.
“Jika benar terdapat siasatan, mengapa mereka tidak membawa harta itu ke SPRM untuk direkodkan? Perkara ini merisaukan saya,” katanya.
Hakim itu turut menolak hujah peguam yang mewakili Haffiz dan Fahmee, Azizzul Shariman Mat Yusoff, yang menyifatkan kemungkinan pelanggaran prosedur operasi standard SPRM sebagai isu tatatertib semata-mata.
“Tidak, perkara ini lebih daripada itu,” katanya sambil mempersoalkan kedudukan dokumen aduan dan kertas siasatan berkaitan kes berkenaan.
Peguam Azwan, Dzulkifli Ahmad, pula berhujah anak guamnya sedang menjalankan pengesahan awal berdasarkan maklumat diterima dan tiada bukti menunjukkan mereka membawa harta berkenaan ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun, Arief mempersoalkan sama ada pihak berkuasa boleh memasuki rumah seseorang dan mengambil barang miliknya tanpa justifikasi yang jelas.
“Terdapat persoalan besar di sini. Mungkin ada isu berkaitan jumlah dan berat. Tetapi bolehkah polis datang ke rumah saya sekarang dan mengambil televisyen saya?” soalnya.
Mahkamah Tinggi kemudian mengetepikan keputusan pembebasan itu dan mengembalikan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.
Jaminan sedia ada dikekalkan, iaitu RM12,000 bagi Haffiz dan Fahmee, manakala RM10,000 bagi Azwan. Pengurusan kes ditetapkan pada 29 Oktober di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum