Jerebu.
Situasi jerebu di negara ini masih belum menunjukkan tanda pemulihan apabila tiada satu pun lokaliti merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sihat setakat jam 12 tengah hari ini.
Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan sebanyak 33 lokaliti mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala 35 lokaliti lagi berada pada tahap sederhana.
Bagaimanapun, tiada kawasan merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.
Johor terus menjadi antara negeri yang mencatatkan bacaan IPU tinggi dengan Batu Pahat merekodkan 188, diikuti Tangkak (186), Larkin dan Pasir Gudang (184), Segamat (181), Kluang (176), Kota Tinggi (172) serta Pengerang (169).
Di Negeri Sembilan, Seremban mencatatkan bacaan IPU 182, diikuti Nilai (178) dan Port Dickson (164).
Melaka turut berdepan keadaan sama apabila Bukit Rambai dan Alor Gajah masing-masing merekodkan bacaan 173, manakala Bandaraya Melaka mencatatkan 172.
Di Kuala Lumpur, Cheras merekodkan IPU 174 dan Batu (169), sementara Putrajaya mencatatkan 167.
Selangor pula menyaksikan Shah Alam merekodkan bacaan 166, diikuti Johan Setia (164), Petaling Jaya (161), Klang (156), Banting (153) dan Kuala Selangor (152).
Di Perak, Tasek Ipoh mencatatkan IPU 173, Pegoh Ipoh (170), Tanjung Malim (168) dan Seri Manjung (151). Seberang Perai, Pulau Pinang pula merekodkan bacaan 113.
Bagi Pahang, Rompin mencatatkan bacaan IPU 168, Indera Mahkota (144) dan Temerloh (124).
Di Sarawak, Kuching merekodkan bacaan 154, manakala Samarahan mencatatkan 108.
**IPU melebihi 100 menunjukkan kualiti udara tidak sihat**, yang boleh memberi kesan kepada kesihatan, khususnya golongan kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan penyakit jantung.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar ketika bacaan IPU tinggi, mengelakkan aktiviti fizikal berat di kawasan terjejas dan mendapatkan maklumat terkini menerusi portal APIMS JAS.
Perkembangan ini menunjukkan kualiti udara masih memerlukan perhatian, terutama di kawasan yang mencatatkan bacaan menghampiri atau melebihi IPU 180.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum