Insiden Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd.
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi, pada Sabtu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang menghubungi beberapa rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan bagi memastikan bantuan konsular dapat disalurkan.
Dalam kenyataan pada Ahad, kementerian itu menggesa rakyat Malaysia yang menetap, transit atau merancang perjalanan ke Arab Saudi supaya sentiasa berwaspada berikutan situasi keselamatan dan gangguan penerbangan yang masih berterusan.
“Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui, atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada,” menurut kenyataan itu.
Mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat turut dinasihatkan mengesahkan status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum bergerak ke lapangan terbang.
Wisma Putra juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.
Susulan insiden berkenaan, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.
Dalam kenyataan berasingan pada Ahad, pihak berkuasa penerbangan awam negara itu memaklumkan serangan di lapangan terbang berkenaan pada Sabtu mengorbankan 12 orang, manakala 309 lagi cedera.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.
Bagi memudahkan urusan bantuan konsular, rakyat Malaysia diminta mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular di [https://ekonsular.kln.gov.my](https://ekonsular.kln.gov.my).
Bagi mendapatkan bantuan kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi talian 00 966 56 300 6319 selepas waktu pejabat atau talian 00 966 11 488 7098 dan 00 966 11 488 7100 bagi pertanyaan am.
Pertanyaan juga boleh dikemukakan melalui e-mel [mwriyadh@kln.gov.my](mailto:mwriyadh@kln.gov.my).
Wisma Putra memaklumkan kementerian itu akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya diperlukan.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum