KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah

4 jam lalu · Isu semasa

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Syariah bagi memudahkan ahli beragama Islam menunaikan kewajipan zakat tahunan menerusi potongan terus daripada dividen simpanan persaraan mereka.

Menerusi kemudahan itu, KWSP akan menguruskan pengiraan dan pembayaran zakat selepas dividen tahunan Simpanan Syariah diisytiharkan, sebelum menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan, kemudahan itu bersifat pilihan dan hanya terbuka kepada ahli beragama Islam yang mempunyai Simpanan Syariah serta bersetuju menggunakannya.

Ahli yang tidak memilih kemudahan berkenaan masih boleh menunaikan zakat secara individu, manakala ahli bukan Islam tidak tertakluk kepada kewajipan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, inisiatif itu merupakan penambahbaikan kepada penawaran Simpanan Syariah bagi membantu ahli menguruskan kewajipan agama dengan lebih mudah.

“Bagi ahli yang memilih kemudahan ini, KWSP menguruskan proses pengiraan dan pembayaran zakat, sekali gus memudahkan urusan menunaikan kewajipan zakat tahunan.

“Ini membolehkan ahli menumpukan perhatian kepada usaha membina simpanan persaraan mereka,” katanya.

Menurut KWSP, kemudahan itu diperkenalkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125 yang menetapkan Simpanan Syariah tertakluk kepada zakat tahunan kerana memenuhi ciri pemilikan sempurna.

Muzakarah itu turut memutuskan zakat berkenaan dikategorikan sebagai zakat perniagaan dan pembayaran boleh diuruskan KWSP bagi pihak ahli menerusi akad wakalah.

Pengiraan zakat dilakukan secara kolektif atau khultah pada setiap 31 Disember menggunakan kaedah modal kerja terlaras bagi menentukan asas pengiraan.

Kadar zakat ditetapkan sebanyak 2.577 peratus, manakala jumlah tanggungan setiap ahli dikira secara pro-rata berdasarkan agihan dividen tahunan Simpanan Syariah masing-masing.

KWSP turut menjelaskan simpanan yang telah layak dikeluarkan, termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel, tidak memerlukan pembayaran zakat berasingan di bawah kemudahan berkenaan.

Ahli Simpanan Syariah beragama Islam yang berminat boleh membuat pilihan menerusi KWSP i-Akaun (Ahli), terminal layan diri (SST) atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.

Kemudahan itu dijangka memberi pilihan kepada ahli untuk menguruskan zakat simpanan persaraan secara lebih teratur, di samping memperkukuh penawaran KWSP yang mematuhi prinsip dan tadbir urus Syariah.

Berita berkaitan
Hantaran KWSP RM100,000 warnai pernikahan Syed Saddiq, Bella
October 10, 2026· Isu semasa
Kewangan Islam mesti kekal relevan, berdaya saing: Anwar
October 2, 2026· Isu semasa
Guan Eng cadang pekerja asing dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum
September 30, 2026· Isu semasa
ASM3 pecah rekod 7 tahun, tatakelola jadi kunci: PMX
September 29, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
October 12, 2026 · Isu semasa
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
October 12, 2026 · Isu semasa
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
4 jam lalu · Isu semasa
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
4 jam lalu · Isu semasa
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok