R. Yuneswaran
Pempengaruh media sosial diingatkan supaya tidak mengeksploitasi isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), terutama ritual keagamaan, demi meraih perhatian atau meningkatkan populariti dalam kalangan pengguna media sosial.
Timbalan Menteri Perpaduan, R. Yuneswaran berkata, individu yang mempunyai ramai pengikut perlu lebih bertanggungjawab menghasilkan kandungan serta mengutamakan mesej positif yang mampu memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kalau boleh, jauhkan perkara-perkara yang melibatkan 3R. Ini kerana pempengaruh mungkin tidak tahu tentang ritual agama atau adat kaum tertentu, lebih-lebih lagi kalau anda bukan penganut agama berkenaan,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, hari ini.
Yuneswaran mengulas isu tular membabitkan seorang pempengaruh yang dipercayai terlibat dalam upacara keagamaan ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.
Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memandang serius perkara itu dan berharap semua pihak menangani isu berkenaan secara berhemah, tanpa mencetuskan ketegangan antara penganut agama.
Katanya, siasatan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agama serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala masyarakat diminta tidak terburu-buru membuat penghakiman atau mempolitikkan isu berkenaan.
“Kita perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya.
Dalam masa sama, Yuneswaran menggalakkan pempengaruh media sosial bekerjasama dengan KPN untuk mempromosikan nilai perpaduan, termasuk penghayatan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Program Negara Bangsa.
Menurutnya, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama boleh bersama-sama menghadiri majlis serta sambutan kebudayaan, namun perlu memahami batas dan menghormati amalan keagamaan masing-masing.
“Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, kita boleh menghadiri pelbagai upacara, majlis dan sambutan. Namun, apabila melibatkan ritual, saya berharap perkara itu dihormati,” katanya.
Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan memulakan siasatan berhubung hantaran tular membabitkan seorang individu yang dipercayai beragama Islam dan didakwa menyertai ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.
Isu itu sekali lagi mengingatkan pengguna media sosial supaya memahami sensitiviti agama dan budaya sebelum menghasilkan atau menyebarkan kandungan, terutama apabila sesuatu hantaran berpotensi mencetuskan salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum