Kes scam.
Lebih 9,600 akaun keldai telah dikenakan tindakan setakat Disember tahun lalu, susulan usaha memperkukuh pengesanan penipuan kewangan menerusi Portal Fraud Kebangsaan (NFP).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pengesanan akaun keldai oleh institusi kewangan meningkat sebanyak 149 peratus sejak NFP diperkenalkan pada April 2024.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mempertingkatkan kerjasama dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi portal itu bagi mempercepatkan pengesanan dana yang dicuri, mengenal pasti akaun keldai serta memperkukuh perkongsian maklumat dengan agensi penguatkuasaan.
“Penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memperkasakan keupayaan pengesanan dan pencegahan penipuan, selari dengan taktik sindiket jenayah kewangan yang sentiasa berubah,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, institusi kewangan yang melanggar peraturan boleh dikenakan pelbagai tindakan, termasuk pendakwaan, kompaun, penalti kewangan pentadbiran atau surat amaran, bergantung pada tahap keseriusan ketidakpatuhan.
Menurutnya, BNM turut mengenakan syarat kawal selia terhadap bank, bank digital dan pengendali dompet elektronik bagi memastikan perkhidmatan kewangan tidak disalahgunakan untuk kegiatan jenayah.
Institusi kewangan juga diwajibkan mengenal pasti transaksi mencurigakan, melaporkan akaun yang disyaki digunakan sebagai akaun keldai serta mengambil tindakan segera untuk menyekat pemindahan dana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Akaun keldai lazimnya digunakan sindiket penipuan untuk menerima dan memindahkan wang hasil kegiatan jenayah, termasuk penipuan dalam talian. Pemilik akaun berisiko berdepan siasatan sekiranya akaun mereka digunakan bagi tujuan berkenaan.
Pelaksanaan NFP menjadi antara usaha memperkukuh tindak balas sistem kewangan terhadap penipuan, khususnya dalam mempercepatkan pengesanan aliran wang dan membantu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kegiatan jenayah kewangan.
Peningkatan pengesanan akaun keldai itu menunjukkan kepentingan kerjasama antara institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan dalam membendung penipuan serta melindungi wang orang ramai.
Kerajaan sasar 500,000 pekerjaan baharu menerusi teknologi AI: Menteri Ekonomi
Mohamad Hasan sahkan rakyat Malaysia di Riyadh selamat
Penjawat awam nikmati rebat Pandapro hingga Disember
PMX antara pemimpin dunia paling lantang perjuang Palestin: Fahmi
Lelaki Islam, ibu ditahan JAIS berhubung ritual agama lain
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum