Tiada syarikat Malaysia terbabit pembakaran di Indonesia: Fahmi

October 16, 2026 · Isu semasa

Tiada syarikat perladangan sawit Malaysia dikenal pasti terbabit secara langsung dalam aktiviti pembakaran yang mencetuskan jerebu di Indonesia, hasil semakan silang terhadap kawasan konsesi milik syarikat negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, semakan yang dilakukan mendapati kebanyakan aktiviti pembakaran dikesan berlaku di luar kawasan konsesi ladang sawit milik syarikat Malaysia yang beroperasi di negara jiran itu.

Menurutnya, Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad memaklumkan perkara berkenaan kepada Jemaah Menteri selepas semakan terhadap syarikat Malaysia yang mempunyai kepentingan dalam sektor perladangan sawit di Indonesia.

“Semakan silang terhadap syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan kebanyakan aktiviti pembakaran yang dikesan berlaku di luar konsesi sawit syarikat Malaysia,” katanya pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Fahmi berkata, keadaan cuaca kering yang berpanjangan turut menjadi antara faktor memburukkan situasi kebakaran di Indonesia, khususnya di Kalimantan.

“Jemaah Menteri dimaklumkan, terutama di Kalimantan, secara umum sudah 101 hari tiada hujan. Kalau ada pun, hujan tidak terlalu banyak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat satu kejadian kebakaran melibatkan ladang milik syarikat Malaysia seluas kira-kira lima hektar.

Menurutnya, kebakaran itu bukan berpunca daripada aktiviti pembakaran di dalam ladang berkenaan, sebaliknya api merebak dari kawasan luar sebelum berjaya dipadamkan.

“Api marak dari luar, namun kebakaran itu sudah dipadamkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengadakan sesi libat urus khas bersama semua syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia susulan perkembangan itu.

Langkah berkenaan bertujuan membincangkan situasi semasa serta memastikan syarikat Malaysia terus memberikan perhatian terhadap pengurusan kawasan ladang dan risiko kebakaran, khususnya ketika cuaca kering berpanjangan.

Isu kebakaran hutan dan tanah di Indonesia sering mendapat perhatian serantau kerana asap yang terhasil boleh bergerak merentasi sempadan dan menjejaskan kualiti udara di negara jiran, termasuk Malaysia.

Keadaan itu menjadikan usaha pencegahan kebakaran serta kerjasama antara negara penting bagi mengurangkan risiko jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan aktiviti ekonomi.

Berita berkaitan
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
October 25, 2026· Isu semasa
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
October 25, 2026· Isu semasa
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
October 24, 2026· Isu semasa
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
October 24, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
16 jam lalu · Isu semasa
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
17 jam lalu · Isu semasa
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
17 jam lalu · Isu semasa
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
17 jam lalu · Isu semasa
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok