Syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi urusan perolehan hartanah strategik diteruskan.
Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 30.1 peratus kepada RM2.91 trilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, dipacu peningkatan kukuh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan global terhadap semikonduktor dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Eksport negara meningkat 34 peratus kepada RM1.571 trilion, manakala import bertambah 25.7 peratus kepada RM1.339 trilion. Prestasi itu menghasilkan lebihan dagangan RM232.38 bilion, meningkat 115.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, sektor E&E kekal sebagai pemacu utama eksport negara dengan nilai penghantaran meningkat hampir RM254 bilion.
“Prestasi ini didorong permintaan global yang berterusan terhadap semikonduktor, peningkatan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) serta penggunaan teknologi digital yang semakin meluas,” menurut kenyataan MATRADE.
Pertumbuhan eksport turut disokong produk petroleum, barangan optik dan saintifik, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam. Peningkatan eksport bijih dan serpihan logam serta gas asli cecair (LNG) pula membantu mengukuhkan prestasi sektor hasil galian.
Dari segi pasaran, eksport Malaysia mencatatkan pertumbuhan ke rakan dagang utama termasuk ASEAN, China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah.
Penghantaran ke pasaran lain seperti Hong Kong, Jepun, India, Korea Selatan, Australia, Mexico, Türkiye, United Kingdom, Kanada dan Peru turut meningkat, mencerminkan peluasan permintaan terhadap produk Malaysia di pasaran antarabangsa.
Prestasi lebih memberangsangkan direkodkan pada September apabila jumlah perdagangan melonjak 53.7 peratus tahun ke tahun kepada RM396.50 bilion, iaitu nilai bulanan tertinggi pernah dicatatkan.
Eksport meningkat 54.5 peratus kepada RM215.11 bilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak April 2021 dan buat pertama kali melepasi paras RM200 bilion. Import pula meningkat 52.7 peratus kepada RM181.39 bilion.
Malaysia turut merekodkan lebihan dagangan RM33.72 bilion pada September, sekali gus meneruskan rekod lebihan dagangan selama 77 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Mengulas prospek perdagangan, MATRADE berkata, Kementerian Kewangan (MOF) mengunjurkan jumlah perdagangan Malaysia berkembang 27.2 peratus pada 2026, dengan eksport meningkat 31 peratus dan import bertambah 23.1 peratus.
MOF turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara antara 4.8 hingga 5.3 peratus tahun ini. Bank Dunia pula menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.1 peratus berbanding 4.4 peratus sebelum ini.
Bagaimanapun, MATRADE mengingatkan prospek perdagangan masih berdepan risiko susulan perubahan dasar perdagangan ekonomi utama dan ketegangan geopolitik, khususnya konflik berterusan di Asia Barat.
“MITI dan MATRADE akan terus memantau perkembangan ini, memperkukuh kepelbagaian pasaran, memperluas akses ke pasaran berpertumbuhan tinggi serta membantu pengeksport Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perdagangan global,” menurut kenyataan itu.
Perdagangan luar menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Prestasi eksport yang kukuh, khususnya dalam sektor E&E, menunjukkan peranan industri semikonduktor dan teknologi dalam memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum