Larangan penggunaan Waze.
Kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze yang dikaitkan dengan Israel, sebaliknya menggalakkan penggunaan aplikasi tempatan, TuJu, bagi memperkukuh keselamatan data dan maklumat pergerakan pengguna.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan Waze menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan maklumat kerana syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu tertakluk kepada undang-undang Israel.
“Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar turut menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem identiti digital negara melalui penggunaan MyKad sebagai pengenalan fizikal dan MyDigital ID bagi urusan dalam talian, selain meningkatkan perlindungan keselamatan siber termasuk persediaan menghadapi ancaman teknologi masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, mengesahkan keputusan larangan itu menerusi surat bertarikh 20 Oktober 2026.
Surat berkenaan menyatakan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN), dalam mesyuarat Bilangan 3 Tahun 2026 pada 20 Oktober lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, memutuskan larangan penggunaan Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, ditetapkan sebagai agensi penyelaras bagi pelaksanaan arahan itu.
Isu hubungan Waze dengan Israel bukan perkara baharu. Pada 2024, pengguna di beberapa negara, termasuk Malaysia, melaporkan gangguan yang menyebabkan bahasa paparan aplikasi itu berubah secara tiba-tiba kepada bahasa Ibrani, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.
Pada 7 Oktober lalu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, turut menggesa kerajaan mempertimbangkan sekatan terhadap Waze selepas meneliti terma penggunaan aplikasi berkenaan yang dikemas kini pada 8 Julai.
Menurut Siraj, terma itu menyatakan perkhidmatan Waze disediakan oleh Waze Mobile Ltd, syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel serta beralamat di Tel Aviv.
Google mengambil alih Waze pada 2013, namun Waze Mobile Ltd masih dinamakan dalam terma penggunaan sebagai penyedia perkhidmatan berkenaan.
Dari sudut privasi, Waze boleh mengumpulkan maklumat lokasi, laluan perjalanan, destinasi, sejarah carian dan butiran peranti, bergantung pada tetapan pengguna. Data pergerakan yang dikumpulkan secara meluas juga berpotensi mendedahkan corak perjalanan serta aktiviti sesuatu kawasan.
Sebelum ini, Iraq turut dilaporkan merancang menyekat Waze atas alasan kaitannya dengan Israel dan bercadang menggantikannya dengan aplikasi navigasi tempatan.
Larangan di Malaysia itu meletakkan isu keselamatan data dan penggunaan teknologi tempatan sebagai antara pertimbangan utama kerajaan dalam menguruskan perkhidmatan digital sektor awam.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum