Tuan Ibrahim Tuan Man.
PAS menafikan akan mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara bersama atau sepentas dengan Barisan Nasional (BN) seperti yang dinyatakan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada 28 atau 29 Oktober ini, iaitu beberapa hari sebelum penamaan calon.
“Setakat ini tidak. Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah pada Kuliah Pagi Jumaat Perdana sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.
Pada Khamis, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dilaporkan berkata, pengumuman calon BN, PAS dan rakan strategik dijangka dilakukan secara bersama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Sabtu ini.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menjelaskan PAS sebelum ini memberi ruang kepada BN untuk mengumumkan senarai calon terlebih dahulu sebelum parti itu membuat pengumuman sendiri.
Beliau berkata, perkara lebih penting ketika ini ialah memastikan kerjasama antara parti yang terlibat dalam PRN Melaka berjalan lancar bagi memperkukuh peluang kemenangan.
“Yang penting ialah kerjasama itu dapat diteruskan dengan baik dan memberi kekuatan kepada parti-parti yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, pendekatan kerjasama berkenaan berasaskan persefahaman antara parti, sama seperti model yang dilaksanakan ketika PRN Negeri Sembilan sebelum ini.
PRN Melaka kali ini menyaksikan BN dan PAS mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi, dengan BN dijadualkan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PAS bersama rakan strategiknya akan bertanding di tujuh kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari mengundi.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum