Platform media sosial kini diwajibkan membuat pengesahan umur.
Ibu bapa perlu lebih proaktif memantau penggunaan peranti dan aktiviti dalam talian anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah seksual, buli siber serta ancaman digital lain.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan digital kanak-kanak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada penyedia platform media sosial, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa.
Beliau berkata, pemantauan terhadap kandungan yang diakses anak-anak amat penting, terutama ketika penggunaan telefon pintar dan media sosial semakin meluas dalam kalangan generasi muda.
“Sekarang kita kena tahu anak tengok apa? Beri telefon bimbit kepada anak wajar dilihat seperti memberikan kereta kepada mereka. Macam-macam perkara boleh berlaku kalau kita tidak awasi anak-anak kita,” katanya ketika ditemu bual dalam audio siar Agenda Malaysia oleh Agenda Daily, malam ini.
Menurut Fahmi, kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak di alam maya berasas susulan kejayaan polis menahan 53 individu menerusi Ops Pedo 2 baru-baru ini, selain merampas lebih 54,000 fail berkaitan pemangsaan kanak-kanak secara dalam talian.
Bagi mengurangkan risiko berkenaan, beliau menyarankan ibu bapa menggunakan fungsi kawalan ibu bapa atau *parental control* bagi mengehadkan tempoh penggunaan gajet serta menyekat aplikasi berisiko.
Langkah itu juga penting bagi membendung tabiat melayari media sosial secara berterusan atau *doomscrolling* yang boleh menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Fahmi memberi amaran penyedia platform media sosial boleh berdepan tindakan saman sehingga RM10 juta bagi setiap kesalahan mulai tahun depan sekiranya gagal mematuhi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Beliau berkata, undang-undang itu bertujuan memastikan platform lebih bertanggungjawab dalam menangani akaun palsu, jenayah seksual dalam talian dan buli siber.
“Platform media sosial hendak berniaga dan menjana pendapatan daripada aktiviti dalam talian di Malaysia. Jadi, mereka kena bekerjasama. Kita beri mereka masa, tetapi saya harap kita tidak perlu sampai ke satu tahap kita perlu saman,” katanya.
Mengenai pengesahan identiti bagi pembukaan akaun media sosial, Fahmi berkata dokumen rasmi seperti MyKid, sijil kelahiran dan MyKad boleh digunakan untuk mengesahkan identiti serta umur pengguna.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi membendung penyalahgunaan akaun palsu yang sering digunakan untuk kegiatan penipuan dan perjudian haram.
“Hampir 90 peratus daripada semua kandungan yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) minta platform turunkan bersifat penipuan dan judi dalam talian,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati mangsa penipuan dalam talian supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas kejadian bagi membolehkan tindakan menyekat transaksi dilakukan.
“Kita kena anggap panggilan ke talian 997 NSRC ini sama seperti kita menghubungi ambulans kerana situasi itu benar-benar kecemasan.
“Jika hubungi dalam tempoh 15 ke 30 minit, insya-Allah pihak Bank Negara boleh sekat transaksi wang daripada dikeluarkan melalui keldai akaun,” katanya.
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum