Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Dua wartawan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Perak pagi Ahad bakal menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA bagi meringankan beban mereka.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kementeriannya menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sedang menguruskan penyaluran bantuan kepada wartawan Bernama, Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Md Arif, 37.
Beliau berkata, kedua-dua pengamal media itu sudah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
“Saya baru dimaklumkan oleh Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj, kedua-dua wartawan yang terlibat dalam kemalangan di Menglembu, Jalan Ipoh-Lumut, pagi tadi telah menerima rawatan di hospital dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Saya mendoakan agar kedua-duanya dipermudah segala urusan dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, kereta Perodua Bezza yang dinaiki kedua-dua wartawan berkenaan dilanggar sebuah lori dari arah belakang ketika berhenti di lampu isyarat.
Mereka dalam perjalanan ke Bagan Datuk bagi membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum kejadian berlaku.
Tabung Kasih\@HAWANA merupakan inisiatif kebajikan yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bagi membantu pengamal media yang berdepan masalah kesihatan, ditimpa musibah atau memerlukan bantuan kewangan.
Inisiatif itu turut menyasarkan bekas pengamal media dan wartawan veteran yang memerlukan sokongan, sebagai usaha memastikan kebajikan golongan berkenaan terus terbela.
Bernama bertindak sebagai agensi pelaksana kepada Kementerian Komunikasi dalam menguruskan tabung berkenaan, sekali gus menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada pengamal media di seluruh negara.
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum