Pengasas Parti Bersama, Rafizi Ramli.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) wajar memberikan penjelasan mengenai status siasatan dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.1 bilion yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Naib Presiden NGO Profesional Muda, Dr. Azizi Azizan berkata, penjelasan rasmi setakat yang dibenarkan undang-undang penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan sistem keadilan terus terpelihara.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu diberikan kebebasan menjalankan tugas tanpa tekanan politik, manakala ketelusan tetap perlu menjadi keutamaan dalam isu yang mendapat perhatian masyarakat.
“Malaysia memerlukan budaya politik yang tidak tergesa-gesa menghukum individu, tetapi juga tidak mengabaikan kepentingan ketelusan dalam pengurusan negara,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu dinilai secara menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan persaingan politik atau kecenderungan terhadap mana-mana individu.
Sebaliknya, persoalan utama ialah bagaimana keputusan dasar yang melibatkan komitmen kewangan besar dinilai, dipantau dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
Azizi turut mengingatkan kepentingan pelaburan dalam industri semikonduktor sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh kedudukan dalam sektor teknologi tinggi.
Bagaimanapun, katanya, kepentingan strategik sesuatu pelaburan tidak seharusnya mengecualikannya daripada penelitian terhadap aspek tadbir urus, keberkesanan pelaksanaan dan pulangan kepada negara.
“Siapapun yang terlibat, standard ketelusan dan integriti yang sama perlu diterapkan kepada semua pihak tanpa pengecualian,” katanya.
Beliau turut menegaskan siasatan tidak boleh dianggap sebagai bukti seseorang melakukan kesalahan, manakala perbezaan pandangan terhadap sesuatu keputusan dasar juga tidak semestinya menunjukkan berlakunya salah laku.
Justeru, penilaian terhadap Rafizi yang menerajui Kementerian Ekonomi ketika kerjasama berkenaan dimeterai perlu dibuat berdasarkan fakta dan proses undang-undang, bukan prasangka atau kepentingan politik.
Azizi berkata, permintaan supaya institusi berkaitan menjelaskan perkembangan siasatan berbeza daripada desakan supaya seseorang dihukum sebelum proses keadilan selesai.
“Apabila sesuatu perkara melibatkan kepentingan awam dan mendapat perhatian masyarakat, penjelasan mengenai perkembangan proses siasatan, setakat yang dibenarkan undang-undang, boleh membantu mengurangkan spekulasi serta meningkatkan kefahaman rakyat,” katanya.
Sebelum ini, wakil Sekretariat Bangkit Nasional (BANGKIT), Khairul Azam Abdul Hamid turut menggesa SPRM dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan hasil siasatan serta kemungkinan tindakan undang-undang berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.1 bilion itu.
Perkembangan isu berkenaan terus menjadi perhatian susulan persoalan mengenai tadbir urus pelaburan strategik negara dan keperluan memastikan setiap keputusan yang membabitkan kepentingan awam dapat dipertanggungjawabkan.
Azizi berkata, golongan profesional muda perlu mengutamakan perbahasan politik berasaskan fakta, dasar dan keberkesanan institusi bagi memastikan prinsip integriti diterapkan secara konsisten kepada semua pihak.
Bersatu masuk bertanding PRN Melaka, umum kerusi 29 Oktober
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
Surat pembubaran DUN Sarawak dihantar kepada SPR
Khabar angin letak jawatan Menteri Besar, Ismail tampil beri penjelasan
PRN Melaka: PKR mahu pembaharuan, beri ruang kepada generasi muda
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum