Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan

October 27, 2026 · Politik

Kerajaan MADANI menegaskan peruntukan pembangunan terus disalurkan ke semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti politik yang diwakili Ahli Parlimen, dengan pelaksanaan projek ditentukan berdasarkan keperluan rakyat dan kemampuan kewangan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan kononnya tiada peruntukan diluluskan bagi kawasan tertentu tidak tepat kerana kerajaan tetap menyediakan dana untuk pelbagai projek kemudahan awam, termasuk membaik pulih sekolah daif, sekolah agama, jalan kecil dan masjid.

“Peruntukan untuk rakyat disampaikan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Mohamad Zulkifly meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang menggubal akta bagi memastikan peruntukan pembangunan diagihkan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Anwar menjelaskan isu sebenar bukan ketiadaan peruntukan pembangunan, sebaliknya kaedah penyaluran dana secara langsung kepada Ahli Parlimen.

Menurutnya, peruntukan tidak disalurkan terus kepada Ahli Parlimen, termasuk wakil parti kerajaan, kerana pelaksanaan projek ditentukan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri serta kementerian berkaitan.

Beliau turut menjelaskan penyaluran peruntukan secara langsung kepada Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini dibuat menerusi persetujuan dalam perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).

Bagi menggambarkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan negeri, Anwar berkata peruntukan Persekutuan kepada Terengganu meningkat daripada RM6 bilion pada 2022 kepada RM8.2 bilion bagi 2027.

“Ini yang saya nak tegaskan. Saya selalu bandingkan dengan 2022 kerana peningkatan itu besar, daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion,” katanya.

Mengulas formula penentuan peruntukan pembangunan kawasan (CDF), beliau berkata kerajaan mengambil kira hasil libat urus dengan kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan pejabat daerah, selain keutamaan projek serta kemampuan kewangan semasa.

Sebagai contoh, sebanyak RM123 juta diluluskan bagi 197 projek dan projek kecil di Besut, merangkumi sektor infrastruktur, kesihatan, perumahan, pertanian, pendidikan dan tebatan banjir.

Antara projek utama ialah pemulihan Sungai Besut bernilai RM8 juta, pembinaan terminal bersepadu bas dan teksi Jertih, projek keselamatan di Pangkalan Udara Gong Kedak bernilai RM18 juta serta pembinaan Klinik Kesihatan di daerah itu yang menelan kos RM37 juta.

Anwar berkata kerajaan terbuka mempertimbangkan permohonan pembangunan tambahan berdasarkan kepentingan penduduk, keutamaan pelaksanaan dan kedudukan kewangan negara.

Beliau menegaskan pendekatan itu menjadi asas kerajaan dalam menentukan projek yang perlu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan kawasan memberi manfaat kepada rakyat.

Berita berkaitan
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
17 jam lalu· Isu semasa
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
17 jam lalu· Isu semasa
Zahid nafi belanja KKDW terlebih RM2.1 bilion
17 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Bersatu masuk bertanding PRN Melaka, umum kerusi 29 Oktober
October 27, 2026 · Politik
Surat pembubaran DUN Sarawak dihantar kepada SPR
October 27, 2026 · Politik
NGO desak SPRM, AG jelaskan status siasatan RM1.1 bilion libat Rafizi
October 27, 2026 · Politik
Khabar angin letak jawatan Menteri Besar, Ismail tampil beri penjelasan
October 27, 2026 · Politik
PRN Melaka: PKR mahu pembaharuan, beri ruang kepada generasi muda
17 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok