Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi

1 jam lalu · Isu semasa

Sebanyak RM58.7 juta diperuntukkan bagi Kempen Internet Selamat dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap ancaman digital, termasuk buli siber, penyebaran bahan lucah serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Peruntukan itu turut memberi tumpuan kepada usaha mendidik ibu bapa, penjaga, guru dan komuniti supaya memainkan peranan bersama dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Kempen Internet Selamat bukan sahaja menyasarkan pelajar dan kanak-kanak, malah merangkumi program pendidikan serta advokasi kepada ibu bapa dan masyarakat.

“Pendekatan ini memastikan tanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian tidak hanya diletakkan ke atas ibu bapa, namun dilaksanakan secara bersama oleh keluarga, institusi pendidikan, komuniti, agensi kerajaan dan pemberi perkhidmatan,” katanya ketika menjawab isu keselamatan dalam talian yang dibangkitkan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Antara inisiatif yang dilaksanakan menerusi kempen itu ialah Konvensyen Ibu Bapa dan Guru serta Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di seluruh negara. Program berkenaan turut memberi kesedaran mengenai penggunaan fungsi kawalan ibu bapa atau ‘parental control’ pada peranti dan perkhidmatan dalam talian.

Selain pendidikan, kerajaan turut memperkukuh tindakan penguatkuasaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Langkah itu diperkukuh melalui pelaksanaan Kod Pengurangan Risiko pada 1 Jun 2026, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan berlesen mengambil langkah mengurangkan risiko kandungan memudaratkan, termasuk kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan AI seperti deepfake.

Bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 September 2026, sebanyak 14,706 kandungan lucah dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak berjaya diturunkan. Sebanyak 5,170 laman sesawang berunsur lucah turut disekat susulan permohonan MCMC.

Dalam menangani buli dan gangguan dalam talian, MCMC merekodkan 5,341 aduan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober 2026.

Sementara itu, kes penyebaran imej bogel palsu membabitkan pelajar perempuan di Seremban masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). MCMC bekerjasama dengan polis dan penyedia platform Meta bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut.

Kerajaan turut mengambil tindakan terhadap perjudian dalam talian melalui kerjasama antara PDRM dan MCMC. Bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026, sebanyak 828,438 kandungan berkaitan perjudian dalam talian diturunkan, manakala 7,411 laman sesawang perjudian disekat.

Bagi aspek keselamatan permainan dalam talian, MCMC bersama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang mengkaji risiko serta langkah perlindungan bersesuaian, termasuk bagi platform Roblox.

CMCF turut menjalankan rundingan awam bagi membangunkan Kod Kecil Permainan dengan penglibatan pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan, pakar keselamatan digital dan pihak berkepentingan lain.

Kerajaan turut menyelaras 55 inisiatif menerusi Jawatankuasa Kerja Menangani Jenayah Penipuan Dalam Talian yang ditubuhkan pada 17 Julai 2026, meliputi aspek siasatan, operasi, teknologi, perundangan dan pencegahan.

Usaha bersepadu itu bertujuan memastikan peruntukan pendidikan keselamatan digital disokong tindakan penguatkuasaan dan kawal selia bagi melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak serta golongan rentan, daripada ancaman dalam talian.

Berita berkaitan
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
2 jam lalu· Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
2 jam lalu· Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
18 jam lalu· Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
October 28, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
4 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
4 jam lalu · Isu semasa
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
18 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
19 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok